Tuesday 25 February 2020

BURUNG HIJRAH STORK BANTU KAWAL SIPUT GONDANG

Burung Asian Openbill Stork adalah spesis burung hijrah yang berasal dari Asia Tenggara iaitu Thailand, Burma, India dan Sri Lanka. 

Burung ini singgah ke kawasan penanaman padi di Malaysia untuk mencari makanan seperti siput gondang emas, ikan, ular, lintah, ketam, katak dan juga serangga yang besar yang terdapat di sawah padi.

Kehadiran burung stork ini biasanya ketika sawah mula dibajak. Ketika itu tapak sawah sudah bersih dengan pokok-pokok rumput dan menerung. Jadi, proses burung stork mencari makanan lebih mudah dilakukan.

Makanan yang paling digemari burung hijrah ini ialah siput gondang emas di sawah padi. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa bilangan burung berkunjung ke sawah yang berkorelasi dengan penurunan bilangan siput gondang emas. Storks adalah pemangsa bijak dan selalunya memilih siput dewasa.

Dengan kehadiran spesis burung hijrah ini merupakan satu rahmat yang boleh diklasifikasikan sebagai satu kaedah kawalan biologi untuk mengawal siput gondang emas di sawah.

Pengawalan secara biologi dapat mengurangkan penggunaan racun perosak dan mengurangkan kos pengeluaran dan yang paling utama ianya dapat memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

Malang sekali ada individu tidak bertanggungjawab yang menembak burung hijrah ini untuk mendapatkan dagingnya. Satu tindakan yang tidak bijak dan perlu dihentikan.

Sebenarnya, isi daging burung hijrah ini bukan sedap. Dagingnya keras tidak ubah macam ayam pencen.

Kehadiran burung hijrah ini sepatutnya dialu-alukan sebagai destinasi hijrah mereka. Ia memberi peluang untuk kita menikmati pemandangan dan pengalaman menarik mengenai kehadirannya. 

Malah, ia boleh dijadikan salah satu produk pelancongan di kawasan penanaman padi yang menjadi lokasi kehadiran burung hijrah ini.

No comments:

Post a Comment