Kampung Palekbang terletak di jajahan Tumpat. Jarak dari bandar Tumpat hanya 10 kilometer dan kira-kira 13 kilometer dari bandar Kota Bharu melalui jalan raya. Jika menggunakan bot menyeberangi Sungai Kelantan, jarak Kampung Palekbang dengan Jeti Tambatan Diraja hanya kira-kira dua kilometer.
Kampung Palekbang mempunyai sejarah gemilang sebagai Stesen Kereta api yang cukup terkenal sekitar tahun 1960-an.
Di Kelantan, pembinaan landasan laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1906 dan pada tahun 1914, sebuah landasan kereta api antara Tumpat dengan Pasir Mas dibuka kepada awam.
Sebuah landasan cabang antara Pasir Mas dengan Golok bertujuan untuk menghubungkan laluan ini dengan sistem kereta api Siam dibuka pada bulan September 1920.
Laluan kereta api antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931.
Dengan pembinaan jalan kereta api ini, maka terjalinlah sebuah rangkaian kereta api dari Tumpat ke Gemas. Dari Gemas boleh terus sehingga ke Singapura atau naik ke utara sehingga ke Padang Besar.
Di Kelantan, antara stesen utama ialah di pekan Palekbang, Tumpat. Stesen ini didirikan oleh Inggeris pada pertengahan 1920-an. Landasannya menjadi penghubung utama di antara ibu negeri Kelantan, Kota Bharu dengan daerah-daerah lain dan ke negeri-negeri Tanah Melayu yang lain.
Walaupun Palekbang terletak di seberang bandar Kota Bharu yang dipisahkan oleh Sungai Kelantan, ia dianggap sebagai stesen untuk bandar Kota Bharu.
Untuk menghubungkan Kota Bharu dengan Palekbang, perkhidmatan feri dan bot digunakan untuk membawa penumpang dan kenderaan menyeberang antara dua tempat tersebut.
Sebuah feri dua tingkat yang dikenali Feri Belangkas amat terkenal pada ketika itu.
Perkhidmatan feri (yang menggunakan kayuhan roda besar mampu membawa kereta) disediakan dari pangkalan Kota Bharu ke pangkalan Palekbang untuk kemudahan penduduk Kota Bharu untuk ke stesen kereta api ini.
Kalau ada melihat peta lama, di kawasan berhampiran Tambatan Diraja akan tertera perkataan ‘Pengkalan Feri Stesen Kereta Api’ Bagi mereka yang tidak tahu sejarah tentu pelik bagaimana ada stesen kereta api di Kota Bharu.
Minyak juga diangkut dari stesyen kereta api ini ke Kota Bharu menggunakan kapal minyak.
Selepas Jambatan Sultan Yahya Petra yang dibina merentangi Sungai Kelantan dari Kampung Sireh di jajahan Kota Bharu menghubungi Kampung Pasir Pekan di Tumpat, siap dibina pada tahun 1965, kesibukan di Stesen Kereta Api Palekbang semakin berkurangan.
Fungsi Stesen Kereta Api Palekbang sebagai stesen utama bagi dua jajahan ini telah diambil alih secara berperingkat- peringkat oleh Stesen Kereta Api Wakaf Bharu.
Kini semuanya tinggal kenangan. Stesen Kereta Api Palekbang telah dihentikan khidmat dan bangunan stesen juga telah dirobohkan. Turut hilang dari lipatan sejarah ialah bangunan di kawasan berkenaan.
Perkhidmatan feri dan bot berulang alik dari Pangkalan Kota Bharu dan Pangkalan Palekbang telah lama dihentikan sebelum Stesen Kereta Api Palekbang dihenti operasi lagi.
Pekan Palekbang kini sepi. Generasi muda yang melalui kawasan berhampiran bekas Stesen Kereta Api Palekbang tidak dapat melihat apa-apa kesan nyata tinggalan sejarah yang dapat menceritakan tentang kehebatan sejarah tempat tersebut.
No comments:
Post a Comment