Friday, 24 November 2017

ILMU PERTOLONGAN CEMAS

Suasana panik dan tertekan biasa terjadi apabila melihat ada seseorang tercedera atau dalam keadaan bahaya akibat sesuatu penyakit. Keadaan itu boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa. Kes mungkin berlaku di rumah, di sekolah, di jalan raya dan sebagainya. 

Tahap dan jenis kecederaan yang dialami mangsa pula mungkin hanya calar-calar kecil saja. Banyak juga kes kecederaan teruk yang boleh membawa maut. Selain itu terdapat keadaan cemas melibatkan penyakit seperti lemah jantung menyebabkan maut juga sering berlaku. 

Semua mangsa kemalangan atau kes kecemasan, biar apapun jenis kecederaan atau penyakit dialaminya, perlu diberi bantuan kecemasan. Bantuan kecemasan bertujuan memberi kelegaan kepada mangsa dan mengelak daripada tahap kecederaan menjadi bertambah teruk.    

Bantuan kecemasan atau pertolongan cemas ialah bantuan awal yang diberikan kepada orang yang sakit atau mangsa kecemasan sebelum ketibaan ambulan atau pakar yang berkelayakan.

Pertolongan cemas yang biasa diperlukan oleh mangsa ialah menahan pendarahan, membalut luka, mengurangkan kesan kesakitan akibat patah tulang, memulihkan pernafasan, mengelak kesan keracunan, gigitan binatang bisa, tercekek dan melecur.

Selain disebabkan kes kemalangan, kecemasan juga melibatkan golongan yang mengidap penyakit berbahaya seperti lemah jantung, lelah, alahan dan sawan babi. Pengidap penyakit berkenaan sering berdepan dengan keadaan di mana mereka menghadapi saat kritikal yang memerlukan bantuan kecemasan. 

Tanpa bantuan kecemasan, terutama dalam kes berkaitan pernafasan, boleh menyebabkan mangsa meninggal dunia. 

Namun perlu diingatkan, memberi pertolongan cemas memerlukan tindakan dan kaedah yang betul. Jika tersilap cara, bantuan yang diberikan mungkin menyebabkan kesan tidak seperti diharapkan.

Seringkali berlaku kes pengendalian pertolongan cemas yang diberikan kepada mangsa tidak sesuai dan tidak selamat. Dalam kes tertentu, bantuan yang diberikan bukan dapat melegakan penderitaan mangsa. Sebaliknya tindakan menyebabkan keadaan lebih serius. 

Dalam kes tertentu, penyelamat turut menjadi mangsa. Kes seperti menyelamat turut terperangkap dalam kebakaran. Banyak kes penyelamat turut mati lemas. Kejadian itu berlaku antara lain berpunca penyelamat tidak mengetahui asas menyelamat dan pertolongan cemas.

Justeru, pengetahuan pertolongan cemas amat berguna. Pengetahuan mengikut kaedah-kaedah asas sudah memadai berbanding tiada langsung. Pertolongan cemas yang diberikan mungkin dapat menyelamatkan nyawa mangsa. 

Satu tindakan yang betul diperlukan untuk membantu mangsa mengalami masalah berkaitan sistem pernafasan dan pendarahan.    

Bantuan pernafasan memerlukan tindakan pantas dalam tempoh beberapa minit. Jika tiada seseorang yang tahu melakukan bantuan pernafasan di tempat kejadian, sudah terlambat untuk mendapat bantuan orang lain di tempat lain.

Pengetahuan pertolongan cemas amat penting dipelajari oleh setiap orang. Paling tidak, dalam setiap keluarga atau kumpulan mesti terdapat salah seorang daripada mereka yang mempunyai kemahiran asas dalam memberi pertolongan cemas. 

Persediaan ini penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kes-kes kecemasan yang berlaku di rumah. Kes kemalangan kecil tetap perlu diberikan bantuan cemas mengikut tindakan yang betul. 

Pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas bukan sahaja bertujuan untuk membantu orang lain. Dalam kes tertentu, pengetahuan itu penting untuk diri sendiri. Banyak kes kemalangan yang berlaku ketika tiada orang lain berhampiran. 

Biarpun bantuan kecemasan dilakukan sendiri agak terhad, tetapi amat berguna untuk mengelak daripada kecederaan menjadi semakin teruk. Tindakan itu mungkin penting untuk menyelamatkan nyawa. 

Justeru, mempelajari asas pertolongan cemas amat penting. Adik-adik juga patut belajar pertolongan cemas dengan menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah dan persatuan lain yang ada mengajar ahlinya mengenai pertolongan cemas. 

No comments:

Post a Comment