Tujuan ucapan salam. Satu doa tanda bersilaturahim sesama Islam. Islam agama
yang syumul telah mengatur cara hidup yang sempurna dalam semua aspek untuk diamalkan
oleh penganutnya. Antara perkara yang
dianjurkan agar diamalkan dalam ajaran Islam ialah mengucapkan salam dan
menjawab salam. Amalan itu mempunyai
banyak kebaikan jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
Pada
asasnya ucapan salam sama tujuannya dengan ucapan sapaan seperti helo, hai, apa
khabar dan selamat pagi. Bagaimanapun, pada hakikatnya salam tidak boleh
disamakan dengan mana-mana perkataan sapaan lain yang sekadar satu ucapan biasa. Berlainan dengan ucapan salam yang mempunyai kelebihan jika diamalkan kerana ia ucapan
yang berdasarkan kepada kehendak agama.
Banyak
kebaikan yang perlu direbut melalui ucapan salam yang disepatutnya kita
menjadikan ia amalan seharian.
- Memberi salam dan menjawab salam adalah doa.
Ungkapan salam yang paling ringkas ialah ‘assalamualikum’ yang bermaksud ‘doa
sejahtera ke atas kamu’. Dengan mengucapkan doa untuk kebaikan orang lain,
sebenarnya turut memberi kebaikan kepada diri sendiri. Tambahan pula, orang yang ditujukan salam ini
wajib menjawabnya yang juga adalah satu doa.
Sebenarnya,
menjawab soalan juga dikategorikan satu doa.
Jawapan salam seringkas-ringkasnya ‘walaikummussalam’ yang bermaksud
‘dan doa sejahtera juga ke atas kamu’. Ini
bermakna, lebih banyak diucapkan salam, maka lebih banyak doa dibalas.
- Tanda keikhlasan hati. Doa yang diucapkan adalah tanda keikhlasan
hati dalam mengharapkan kesejahteraan kepada orang lain. Secara tidak langsung akan terpancar akhlak
mulia dan terpuji yang menimbulkan ketenangan dan kebahagiaan pada diri,
keluarga dan masyarakat.
- Ganti kepada yang terbaik. Siapa mengucapkan helo tidak mendapat apa-apa
faedah. Perkataan selamat pagi pula
diterjemahkan daripada perkataan good morning. Mengapakah kita mengucapkan selamat kepada pagi sedangkan sepatutnya
selamat didoakan kepada orang ditemui. Sesiapa
yang mengucapkan salam bermakna menggantikan perkataan ‘biasa’ kepada perkataan
yang terbaik.
- Mudah diucapkan. Amalan itu mudah dilakukan kerana tidak
memerlukan syarat khusus dan masa yang tertentu, tetapi amalan itu mempunyai besar
kelebihannya jika diamalkan. Semua umat
Islam dapat mengucapkan perkataan salam dengan baik dan memahami ungkapan
itu. Sebab itu, individu yang faham peri
pentinnya mengucapkan salam tidak akan mempersia-siakan kebaikan di sebalik amalan
itu.
- Tanda beragama Islam. Semasa berada di tempat yang menggunakan
bahasa asing dan tidak difahami, antara perkataan yang difahami ialah ucapan
salam. Ini kerana ungkapan salam sama
bagi seluruh umat Islam biarpun berlainan bahasa percakapan harian. Justeru apabila ungkapan salam diucapkan,
orang lain dapat mengetahui dia beragama Islam serta mudahlah terbentuk ikatan
persaudaraan sesama Islam biarpun berada di mana-mana sekalipun.
- Tanda dihormati. Dapat dirasakan percakapan yang dimulai
dengan salam lebih mesra dan dilakukan mengikut adab-adab orang Muslim. Orang yang ditujukan ucapan salam merasakan
dirinya dihormati haknya sebagai seorang Muslim. Manakala, orang yang memberi salam pula
merasakan kehadirannya diterima apabila salamnya dijawab.
Sabda
Rasulullah yang bermaksud: “Demi diriku di atas tangan-Nya, kamu tidak akan
masuk syurga sehinggalah kamu beriman dan tidak beriman kamu sehinggalah kamu
berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan
kepada kamu satu pekerjaan yang akan menambah kasih sayang sesama kamu. Iaitu hendaklah kamu sebarkan salam di antara
kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
- Bolah diucapkan kepada sesiapa pun. Kita
dituntut agar mengucapkan salam ditujukan kepada sesiapa saja, termasuk ahli
keluarga sendiri dan orang yang tidak dikenali. Malah salam berperanan sebagai permulaan
kepada perkenalan atau perhubungan di antara individu atau kumpulan. Ucapan salam dijadikan pembuka kata
menandakan kadatangannya dengan tujuan yang baik.
- Mudah mesra. Interaksi dimulai dengan salam mudah mesra
dan diberkati yang mana sebarang perasaan syak wasangka dan sombong dapat
dijauhkan. Ucapan salam menundukkan perasaan buruk, dan digantikan dengan sifat
baik. Kebahagiaan hidup seseorang banyak
berpunca daripada hati yang ikhlas melakukan amalan baik.
- Bukan
sekadar adat. Secara dasarnya salam
hanya memerlukan ucapan perkataan assalamualaikum, tetapi satu lagi perbuatan
yang digalakan diamalkan semasa memberi dan menjawab salam ialah berjabat
tangan. Sebenarnya dalam masyarakat Islam di Malaysia, mengucap salam dan
berjabat tangan itu dianggap nilai pekerti yang sudah sebati apabila
mengunjungi atau menanti kunjungan. Sebab itu dalam masyarakat Melayu berjabat tangan lebih kerap disebut
bersalam.
Dengan kata lain, apa yang diamalkan dalam
masyarakat kita sebenarnya bukan sekadar adat, tetapi ialah satu ibadat. Tetapi, jika ia dilakukan sebagai adat, maka
ia sekadar menyempurnakan adat.
Sebab itu dalam apa perkara sekalipun,
kefahaman mengenai apa yang dilakukan amat penting bagi membezakan antara satu
amalan diberi ganjaran pahala atau hanya satu kebaikan yang diperoleh di dunia
semata-mata. Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai pada niatnya. Oleh itu haruslah kita melakukan sesuatu
dengan satu niat kerana tuntutan agama atau kerana Allah.
- Lembutkan hati. Perkataan salam adalah
sebaik-baik perkataan untuk menghubungkan sesama Muslim. Sebab itu, perbanyakkan amalan mengucapkan
salam agar hati sentiasa digilap bagi mengelak daripada terus dikotori amalan
dosa. Salam yang diucapkan akan
mendekatkan hati dengan suasana kehidupan sebagai seorang Muslim dan dapat
melunakkan hati agar suka melakukan kebaikan.
Hati
yang kotor sukar untuk mengucapkan perkataan yang baik. Itu bertentangan dengan kebiasaan yang mereka
lakukan. Sesiapa yang sukar atau berat
mulut mengucapkan salam membuktikan hatinya berada dalam keadaan kotor. Kekotoran hati jika tidak dibersihkan akan
menyebabkan diri seseorang berada dalam keadaan jiwa yang tertekan.
- Memberitahu kehadiran. Ketika
bertandang ke rumah orang lain, mulakan dengan memberi salam untuk memberi tahu
tuan rumah mengenai kedatangan kita. Kebiasannya, selepas menjawab salam, baru tuan rumah akan mempersilakan
masuk. Mungkin, juga dalam keadaan
tertentu tuan rumah tidak menjemput masuk, jadi janganlah masuk ke rumah tanpa
kebenaran.
Salam
itu juga boleh dijadikan isyarat kepada penghuni rumah itu agar bersedia
menerima tetamu dari segi pakaian dan tatasusila. Dalam rumah itu mungkin
terdapat isteri dan anak gadis yang berpakaian tidak menutup aurat. Jadi, setelah mendengar salam dari orang
lelaki yang bukan mahramnya, dapatlah dia mencari pakaian yang sesuai atau
duduk di dalam bilik untuk mengelak dipandang lelaki bukan mahram yang datang
bertandang itu.
No comments:
Post a Comment