Kesultanan Patani merupakan antara kerajaan
Melayu yang tertua berpusat di utara Semenanjung Tanah Melayu. Ia terbentuk
sebagai kesinambungan kerajaan Langkasuka pada sekitar 1350 - 1450 dan berada
di kemuncaknya antara tahun 1585 ke 1649.
Kerajaan Melayu itu bagaimanapun tumpas
kepada Kerajaan Rattanakosin Siam pada 1786, lalu dipecahkan kepada 7 negeri
kecil dengan setiapnya mempunyai raja tersendiri. Ia melemahkan Patani dan
menjadikan sebarang kebangkitan menentang Siam hampir mustahil.
Pada awal pemerintahan Siam di Patani, para
pemerintah tempatan setiap negeri dibenarkan untuk meneruskan pemerintahan cara
tradisi Melayu. Pada masa sama, mereka perlu menghantar ufti bunga emas sebagai
tanda kesetiaan kepada Rattanakosin di Bangkok.
Ia menjadi amalan sehinggalah pada zaman
pemerintahan Sultan Sulaiman Syarifuddin (1890-1898), Raja Chulalongkorn
memerintahkan supaya pentadbiran negeri-negeri Melayu Patani disusun semula
mengikut sistem Thesaphiban pada 1897.
Mengikut sistem pentadbiran ini, jawatan
raja-raja tempatan tidak lagi diwarisi tetapi tertakluk kepada lantikan Raja
Siam. Mereka juga tidak dibenarkan untuk menerima hasil cukai dan menjalankan
perniagaan, manakala pendapatan mereka diberi terus oleh Siam.
Kuasa Patani makin terhakis dan anak Sultan
Sulaiman, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin yang menggantikan bapanya sebagai
Sultan Patani yang baharu tidak diiktiraf Siam. Kerana enggan menandatangani
dokumen melepaskan Patani, Sultan Abdul Kadir ditahan pada 21 Februari 1902.
Atas kesalahan ingkar perintah Raja Siam,
Sultan Abdul Kadir dipenjarakan di Phitsanulok.
Pada 6 Mac 1902, Raja Patani terakhir itu
secara rasmi dilucutkan jawatan, sekaligus mengakhiri Dinasti Tuan Besar yang
memerintah Patani selama 60 tahun.
Kredit tulisan: Pertubuhan Jaringan Cakna
Warisan Nusantara Negari Kelantan (PENJANA).
Sumber: Nik Anuar Nik Mahmud, (1982) Sistem Thesaphiban dan kesannya keatas Kedaulatan dan Kewibawaan Raja-Raja Melayu Patani. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies
Sumber: Nik Anuar Nik Mahmud, (1982) Sistem Thesaphiban dan kesannya keatas Kedaulatan dan Kewibawaan Raja-Raja Melayu Patani. Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies