Ikan keli afrika telah pun diwartakan sebagai ikan larangan
di Malaysia. Sebarang pelepasan ke perairan umum adalah satu kesalahan yang
besar. Ikan jenis itu antara 30 paling invasif daripada 97 spesies pendatang yang
telah direkodkan di Malaysia.
Ikan keli afrika akan menyebabkan ikan tempatan akan gagal
bersaing dari segi populasi kerana ikan ini amat mudah membesar dan
berkembang biak. Tambahan lagi pemakanan keli afrika adalah
pelbagai dan agak pelahap. Keadaan itu telah menunjukan banyak kesan buruk terhadap
ekosistem perairan.
Dalam usaha menangani pelepasan ikan-ikan asing di
sungai-sungai, satu peraturan khas sedang dirangka iaitu Kaedah-Kaedah
Perikanan (Akuakultur Darat) dan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai).
Kalau tiada pengawalan, ia akan merugikan kita apabila
perairan negeri ini akan dipenuhi ikan-ikan asing dan amat sukar untuk
mengeluarkan spesies ikan itu pada masa depan.
Nelayan akan rugi dan masyarakat tidak menikmati kesedapan
serta keenakan ikan-ikan asli seperti tengas, kelah, terbul, lampam sungai dan
sebarau.
Melalui peraturan itu, pengusaha ikan dilarang memiliki 16
genus ikan larangan dan jika melanggar arahan, mereka tidak boleh
memperbaharui lesen perniagaan ikan akuarium dan kolam memancing.
Selain ikan keli afrik, spesies larangan lain ialah ikan
baung ekor merah, peacock bass, ikan bandaraya (pleco), tilapia hitam dan pacu.
Kehadiran ikan penceroboh itu boleh memakan mana-mana spesies ikan lain dengan
begitu banyak dan cepat bertindak balas kepada sumber makanan baharu.
Ikan bandaraya, khususnya, menjadi perosak utama kerana
kebolehan pembiakannya yang pantas dan keupayaannya bertahan dalam persekitaran
tercemar.
Populasinya yang meledak berpunca daripada sikap tidak
bertanggungjawab segelintir masyarakat yang melepaskan ikan hiasan ke dalam
perairan awam apabila sudah tidak mahu membelanya.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila spesies invasif seperti
baung ekor merah turut dikenal pasti sebagai pemangsa kepada anak-anak ikan
tempatan.
Kesan langsung daripada situasi ini ialah kemerosotan
drastik bilangan ikan tempatan seperti lampam sungai. Dalam aktiviti
pemancingan, nisbah tangkapan ikan tempatan berbanding ikan asing amat
membimbangkan, dengan hanya satu atau dua ekor ikan tempatan diperoleh bagi
setiap satu tan tangkapan.
Usaha-usaha mitigasi telah dan sedang dilaksanakan oleh
pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), termasuk pelaksanaan
Pelan Pengurusan Spesies Asing serta program pelepasan benih ikan asli seperti
lampam, puyu dan baung sungai.
Namun, pelepasan ini sering tidak memberikan impak ketara
kerana spesies invasif mendominasi kawasan sungai dan menyukarkan benih ikan
asli untuk membesar dan membiak.
Dalam menghadapi cabaran ini, pendekatan holistik
diperlukan. Di samping penguatkuasaan terhadap penjualan dan pelepasan spesies
invasif, kempen kesedaran masyarakat harus dipertingkatkan, termasuk melalui
pendidikan di peringkat sekolah.
Kerjasama antara kerajaan, NGO dan komuniti pemancing juga
perlu diperkukuh bagi melindungi sumber perikanan air tawar negara untuk
generasi akan datang.
Baca juga:
No comments:
Post a Comment