Thursday, 30 April 2026

KAMPUNG NAKO NAMBUA

 
Kampung Nako Nambua. Ia terletak di Padang Terap, Kedah. Jarak dari Alor Setar kira-kira 32 kilometer dan pekan terdekat adalah Kuala Nerang lebih kurang lima kilometer.

Kampung Nako Nambua telah dibuka dan dinamakan sempena nama seorang peladang yang berasal dari Pattani, selatan Thailand. Namanya Nam Bua, telah datang ke kawasan ini bersama isteri dan anak lelakinya.

Pada asalnya, kawasan ini adalah hutan belantara yang penuh dengan semak samun. Namun setelah beberapa lama kemudian, kawasan tersebut telah dibersihkan dan dijadikan kawasan penempatan, banyak penduduk Melayu Muslim yang berasal dari selatan Thailand telah berpindah ke situ.

Versi lain pula menyatakan asal nama kampung tersebut daripada dua perkataan Siam iaitu "Nako" yang bererti jelapang padi, dan "Nam-bua" bererti "air-mata air". Kemudian para perintis telah memajukan penanaman padi dengan menggunakan sumber air mata air semula jadi tersebut. 

Jadi para perintis telah bersetuju untuk menggunakan kedua-dua perkataan Thai tersebut dengan mencantumkannya menjadi ''Nako Nambua''. Kawasan tersebut terdapat banyak aktiviti penanaman padi yang diwarisi dari turun temurun. 

Kini, sumber ekonomi utama masyarakat setempat adalah pertanian berasaskan getah, namun tanaman padi masih diusahakan secara sampingan.

Sekarang, kampung ini telah mempunyai suatu sistem pengaliran air yang moden dan sistematik. Penduduk kampung telah merasai kesuburan tanah dan mendapat hasil tuaian padi yang amat memberangsangkan.

Pada asalnya, Nako hanyalah sebuah kampung kecil, manakala Nambua pula adalah kampung lain yang bersebelahan. Tetapi selepas kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, kedua-dua kampung tersebut telah dicantumkan bersama menjadi Kampung Nako Nambua.

Seiring dengan perubahan masa dan pertambahan penduduk, kedua kampung ini dipecahkan semula kepada Kampung Nako dan Kampung Bukit Nambua yang ditadbir secara berasingan.

Pada ketika ini, Nako Nambua bukannya sebuah kampung tetapi merupakan sebuah kariah yang terdiri daripada 3 buah kampung yang berjiran iaitu Kampung Nako, Kampung  Bukit Nambua dan Kampung Genting Palas.

No comments:

Post a Comment