Thursday, 30 April 2026

MAKAM RAJA ABDULLAH, SUAMI PUTERI SAADONG

 
Makam Raja Abdullah Ibni Raja Bahar terletak di Padang Halban, Melor, kira-kira 17 kilometer dari bandar Kota Bharu. Raja Abdullah adalah suami kepada Puteri Saadong. 

Puteri Saadong dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah Ibni Raja Bahar ketika usia 15 tahun. Tindakan itu dilakukan tergesa-gesa untuk menghalang hasrat Raja Siam memperisterikan Puteri Saadong.

Raja Abdullah dan Puteri Saadong diberikan satu kerajaan dikenali Kota Jelasin (ada juga mengatakan Kota Mahligai).

Raja Siam berasa terhina dengan helah perkahwinan itu, lalu menyerang Kota Jelasin untuk merampas Puteri Saadong dan dibawa ke Siam. Sebelum ke Siam, Puteri Saadong meminta Raja Abdullah menunggu kepulangannya.  

Raja Siam mengalami penyakit kulit sebaik ketibaan Puteri Saadong. Pelbagai usaha dilakukan, namun penyakit itu tidak sembuh, bahkan semakin teruk jika dia mendekati Puteri Saadong.

Puteri Saadong berjanji mengubati penyakit itu, tetapi memohon dirinya dilepaskan selepas itu. Ditakdirkan Allah, penyakit itu sembuh dan sebagai menunaikan janji, Puteri Saadong dibebaskan dan dihantar pulang ke Kelantan.

Takkala Puteri Saadong tiba di Jelasin didapati Raja Abdullah telah mungkir janji berkahwin dengan wanita lain. 

Tindakan Raja Abdullah itu dipercayai kerana tidak yakin bahawa Puteri Saadong akan kembali setelah berada di bawah penguasaan Raja Siam yang cukup kuat.

Pertengkaran suami isteri telah berlaku sehingga menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah.

Terdapat beberapa pendapat berkaitan kematian suami Puteri Saadong itu.

Ada pendapat mengatakan ada konspirasi dilakukan pihak tertentu agar tercetus ketegangan di antara suami isteri itu yang menyebabkan Puteri Saadong menikam Raja Abdullah. Kematian itu dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.

Pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya. Puteri Saadong disifatkan mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin sanggup membunuh suaminya. 

Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.

Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.

Ada juga mengatakan individu yang sebenarnya menikam Raja Abdullah adalah isteri barunya.

Gambar - Makam Raja Abdullah Ibni Raja Bahar

Kredit pemilik gambar

No comments:

Post a Comment