Thursday 4 March 2021

CARA TANAM BUNGA ATI-ATI

Bunga ati-ati (Coleus blumei) merupakan sejenis tumbuhan ornamental daripada keluarga Lamiaceae yang mudah dijumpai dan juga ditanam di negara kita. Pokok ati-ati juga dikenali pokok nilam dan pokok bangun-bangun.

Terdapat 6 spesis utama tumbuhan bunga ati-ati yang sering dijumpai iaitu C. blumei, C. amboinicus, C. forskonii, C. pumilus, C. barbatus dan juga C. pumilla.

Kesemua pokok bunga ati-ati mempunyai warna daun yang unik dengan kombinasi satu atau beberapa warna terang yang agak menarik. Tumbuhan ini adalah jenis tumbuhan yang mempunyai batang dan berdaun lembut. 

Pokok ati-ati adalah sejenis pokok hiasan yang menarik kerana mempunyai daun dua warna terang yang cantik dipandang.

Tumbuhan ini memang memerlukan air yang banyak kerana ia berbatang lembut dan terencat pertumbuhannya jika tanah kering atau kurang humus. Namun, air tidak boleh bertakung pada pangkal pokok kerana boleh menyebabkan akarnya reput dan mati.

Pokok ati-ati yang ditanam dan telah matang mengeluarkan bunga kecil dalam satu jambak sekaligus pengeluaran daun muda dimana ia akan berhenti. Selepas berbunga, selalunya elok memangkas dahan bunganya bagi menggalakkan pertumbuhan daun baru.

Kaedah pembiakan pokok ati-ati adalah melalui akar pokok dan keratan batang. Sebenarnya proses pembiakan ini mudah dilakukan dan ia addalah jenis tumbuhan yang cepat membiak jika mendapat cahaya matahari yang cukup (cahaya matahari tidak secara langsung).

Campur media tanaman terdiri daripada tanah bakar dan tanah kompos dengan nisbah satu beg tanah bakar dan dua beg tanah kompos. Kemudian ambil keratan batang bunga ati-ati yang sihat dipotong mengukut panjang yang sesuai 15- 20 cm bergantung kepada varieti.

Lazimnya ruas perlu di tanam ke dalam tanah untuk mempercepatkan proses pembiakan. Padatkan tanah untuk menyokong tumbesaran. Sebaiknya pada peringkat ini penyiraman pokok ati-ati dibuat mengikut keadaan kelembapan tanah. 

Dalam masa seminggu biasanya pokok sudah boleh mengeluarkan akar. Dalam masa dua minggu makan anakbenih ini sudah boleh dipindahkan ke tempat kekal untuk menggalakkan pembiakannya. 

No comments:

Post a Comment