Saturday, 5 July 2025

AKTIVITI PELANCONGAN DI KELANTAN SURAM

 
Kelantan menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan yang menarik, termasuk pantai yang indah seperti Pantai Cahaya Bulan, aktiviti mendaki gunung seperti di Gunung Stong, dan pengalaman membeli-belah di Pasar Siti Khadijah dan Wakaf Che Yeh. Selain itu, terdapat juga tarikan kebudayaan seperti Gelanggang Seni dan lawatan ke masjid-masjid ikonik seperti Masjid Muhammadi. 
 
Begitu pun, aktiviti pelancongan di Kelantan dianggap suram. Kedatangan pelancong, khususnya dari luar negara dilihat amat kecil. Jika berjalan-jalan di bandar Kota Bharu dan lokasi pelancongan lain, amat sukar untuk menemui pelancong dari luar negara. Hal ini jauh berbeza ketika era tahun 1980-an dahulu.
 
Kalau ada pelancong luar negara menaiki kapal terbang dan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), mereka bukan melancong di Kelantan. Sebaliknya sekadar mendarat dan meneruskan perjalanan ke destinasi lain. Paling banyak akan ke Pulau Perhentian, Terengganu atau terus ke Rantau Panjang untuk ke Thailand.
 
Memang, dalam istilah pelancongan, tidak kisah pelancong dari luar negara mahupun pelancong domestik. Isunya sekarang, pelancong demostik juga jarang mengunjungi Kelantan. Pantai peranginan banyak dikunjungi penduduk Kelantan sendiri.
 
Pasar Siti Khadijah dan Wakaf Che Yeh sekadar cerita dan kisah kehebatan masa dahulu. Peniaga di Pasar Siti Khadijah semakin berkurang atau hanya menjalankan perniagaan pada musim cuti sahaja. Lot perniagaan di Bazar Tengku Anis yang berjumlah ratusan, hanya beroperasi beberapa kedai sahaja. Perniagaan di Bazar Tuan Padang dan Bazar Tok Guru juga menerima nasib yang malang.
 
Beberapa pasar raya di Kota Bharu sudah lama tidak beroperasi. Rumah kedai hanya disewa dan beroperasi di tingkat bawah sahaja. Tingkat selebihnya kosong dan banyak menjadi rumah burung merpati dan burung walit.
 
Kawasan bebas cukai di Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang semakin sunyi dan tersisih daripada senarai lawatan pelancong. Gelanggang Seni tidak lagi menjadi daya tarikan palung rebana ubi, kertuk, serunai mahupun gasing uri atau gasing terbang yang cukup unik.
 
Industri perhotelan di Kota Bharu amat terencat. Banyak yang tutup, termasuk yang berstatus besar. Kalau masih ada yang bertahan, itu kira sudah bernasib baik.
 
Kisah rekod Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mencatat kehadiran seramai 10.514 juta pelancong sepanjang tahun 2024 sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 sebenar tidak lagi dianggap pelancong.
 
Angka tersebut sebenar merujuk kepada kemasukan domestik, termasuk di kalangan warga Kelantan yang merantau mencari rezeki di luar Kelantan. Memang perangai warga Kelantan, pantang ada cuti panjang sedikit, maka akan pulang ke kampung. Sebab itu, LTSIP memang sibuk, begitu juga dengan beratus-ratus buah bas keluar masuk Kelantan setiap hari.
 
Bahkan, banyak warga Kelantan berulang-alik setiap minggu dari seluruh seluruh negara. Kalau balik sebulan sekali itu sudah dikira kurang kerap.
 
Mereka inilah yang meningkatkan bilangan kemasukan domestik di Kelantan dan mengakifkan aktiviti perniagaan, terutama kedai makan. Satu tabiat warga Kelantan ialah setiap kali balik mesti makan di luar. Akan dibawa ibu bapa menikmati nasi kerabu, nasi dagang, tomyam, laksa, laksam dan macam-macam lagi, selain untuk kepuasan diri sendiri.
 
Justeru, usaha perlu dipertingkatkan untuk membawa lebih banyak pelancong ke Kelantan, tidak kisahlah pelancong luar negara mahupun pelancong domestik. Kepulangan perantau ke kampung halaman tidak wajar disebut sebagai pelancong.
 
Pada masa sama, kegemaran rakyat Kelantan masuk ke Selatan Thai juga perlu dikurangkan. Utamakan berbelanja di dalam negeri untuk mengelak pengaliran wang ke luar negara.
 

No comments:

Post a Comment