Saturday 29 February 2020

GENDANG IRING PERSEMBAHAN TRADISIONAL

Gendang peralatan muzik yang mengiringi persembahan tradisional. Terdapat dua bentuk gendang iaitu gendang satu muka dan gendang dua muka. 

Gendang yang mempunyai satu muka seperti kompang dan rebana diakui telah mendahului gendang-gendang yang mempunyai dua muka.

Gendang dua muka yang dikenali sebagai gendang ibu dan gendang anak banyak terdapat di Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan dan Perak  telah ditakrifkan sebagai gendang Melayu.

Temalang atau badan gendang diperbuat daripada kayu nangka ataupun jenis kayu yang keras yang dianggap sesuai. Bentuknya seperti tempayan iaitu ‘barrelshape’ dan tebukan dalaman dilakukan selari dengan bentuk luaran. Ini bagi menjamin mutu bunyi yang terbaik dan ideal.

Pada permukaan besar temalang tersebut dipasang atau dilekatkan dengan belulang lembu manakala permukaan kecilnya dengan belulang kambing.

Proses melekat bermula dengan meregang atau memasang kulit-kulit berkenaan yang masih dalam keadaan lembap pada bingkai rotan yang telah dibentuk mengikut kesesuaian.

Apabila kering, ianya akan menebat di antara kulit dan bingkai tersebut. Kemudian dipasangkan serentak pada kedua-dua muka gendang tersebut dan dijalin dengan rotan, berbentuk seperti “Y” sebagai bahan penegang, menerusi gelung-gelung yang diperbuat daripada kulit berfungsi sebagai ‘simpai’ untuk melaraskan bunyi gendang.

Selain simpai, ‘kemban rotan’ juga dipakai pada badan gendang tersebut untuk melaraskan bunyi. Ini bagi menjamin ketegangannya supaya tidak cepat mengendur. Dalam keadaan yang sama ‘kemban rotan’ juga berfungsi sebagai bahan penghias.

Dalam konteks persembahan, gendang ibu akan disertai secara berpasangan dengan gendang anak untuk memainkan pola-pola paluan yang khusus secara meningkah bagi pembinaan irama mengikut persembahan yang diiringi.

Dalam amalan semasa persembahan ianya dipangku di atas riba secara tertib mengikut keselesaan pemainnya dan dipalu dengan tangan pada kedua-dua belah mukanya dan pada ketika tertentu dipukul dengan rotan yang dibengkok.

No comments:

Post a Comment