Secara
adatnya, setiap perkahwinan akan turut diadakan walimatulurus atau jamuan makan
dan beberapa aktiviti lain. Majlis tersebut sebagai meraikan pengantin baharu yang
juga dipanggil raja sehari.
Sebenarnya
mengadakan walimatulurus bukan setakat adat, tetapi juga menjadi tuntutan
agama. Nabi Muhammad SAW pernah menyuruh Abdul Rahman bin Auf yang mahu berkahwin
agar mengadakan walimatulurus sempena perkahwinannya.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: "Adakan jamuan bagi perkahwinan itu, walaupun
hanya seekor kambing." (Hadis riwayat Muslim).
Majlis
walimatulurus diadakan sebagai tanda kesyukuran termeterainya ikatan
perkahwinan. Jamuan makan kepada orang ramai antara cara menzahirkan rasa
kesyukuran untuk meraikan hari bahagia itu.
Walimatulurus
yang diadakan hendaklah dijemput jiran tetangga yang terdekat tanpa mengira
mereka itu kaya atau miskin, ada pertalian saudara atau tidak. Jemputan
itu selaras dengan tujuan merapatkan hubungan sesama jiran tetangga dan
menghebahkan perkahwinan.
Penglibatan
semua jiran dalam majlis walimatulurus diumpamakan satu keluarga besar. Semua
orang berhak bersyukur dan bergembira dengan perkahwinan tersebut. Majlis
tersebut juga bertujuan menyatukan seluruh sanak saudara yang tinggal jauh
untuk berkumpul bersama.
Amalan
hanya menjemput tetamu setaraf yakni golongan kaya menjemput golongan kaya,
akan menyuburkan sikap mementingkan diri dan sombong di dalam masyarakat. Sesungguhnya
walimatulurus yang tidak menjemput golongan miskin adalah majlis tidak
diberkati.
Perkara
ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Sejelik-jelik
makanan ialah makanan dari majlis walimatulurus yang hanya dijemput orang kaya
sahaja, orang fakir dan miskin tidak pula dijemput untuk makan bersama.” (Hadis
riwayat Bukhari).
Sebenarnya
tujuan Islam menggalakkan walimatulurus adalah untuk merapatkan tali
persaudaraan dan menghebahkan mengenai perkahwinan yang diadakan. Penyediaan
makanan kepada tetamu pula dianggap satu tanda menzahirkan kegembiraan dan
ingin berkongsi dengan tetamu yang dihadir.
Keberkatan
dan kemuliaan majlis akan bertambah apabila tetamu yang dijemput termasuk di
kalangan golongan miskin dan fakir yang amat memerlukan makanan. Golongan
ini jarang berpeluang menikmati hidangan yang enak dan lazat. Inilah juga
peluang untuk golongan miskin dan kaya berada dalam majlis yang sama.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya malaikat tetap mendoakan seseorang
selama hidangan makanannya masih terhampar atau tersedia untuk tetamu.” (Hadis
riwayat Tarmizi).
No comments:
Post a Comment