Sunday, 5 November 2023

BERBICARA HANYA PERKARA BERMANFAAT

 
Apabila seseorang ingin berbicara sedangkan perkara itu tidak penting, maka ketika itu datang ujian kepada diri sendiri, supaya menahan hati dan menumbuhkan rasa ketakwaan dalam berbicara. Bagi mereka yang berhati-hati dalam berbicara adalah ampunan dan pahala yang besar.  
 
Orang yang tidak beradab ketika berbicara juga dikatakan sebagai orang tidak menggunakan akal. Namun kesalahan yang dilakukan pada masa lalu dalam keadaan jahil akan diampuni kerana Allah Maha Pengampun.
 
Bagi orang yang beriman, jika datang kepada mereka orang fasik (pembohong) membawa berita, maka selidik dulu kebenarannya, bimbang cerita bohong itu nanti akan menimpakan musibah kepada sesuatu kaum atau insan.  
 
Janganlah berita itu terus diiyakan atau ditidakkan, janganlah terburu-buru menjatuhkan keputusan sehingga orang terbabit mendapat hukuman, padahal ternyata kemudian tidak ada kebenaran mengenainya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Menyelidiki dengan tenang adalah daripada Allah dan tergopoh-gapah adalah daripada syaitan."  
 
Namun masih ada yang jujur dan mencintai iman, yang bertanggungjawab menyampaikan kebenaran. Mereka itulah orang yang bijak, memikirkan manfaat dan mudarat sesuatu hal sebelum dikerjakan.
 
Orang beriman yang bijak inilah yang diperlukan dan membawa kebahagiaan bersamanya kerana berpandangan jauh serta mempunyai kefahaman luas. Jika ada dua golongan yang sama-sama beriman tetapi timbul salah faham sehingga tercetus perkelahian, seterusnya peperangan, maka hendaklah ada orang beriman lain segera mendamaikan antara keduanya. Dengan mengetahui sebabnya hendaklah disuruh berdamai.
 
Golongan yang tidak mahu berdamai itu disebut orang yang menganiaya, hendaklah diperangi sehingga tunduk dan patuh kepada kebenaran. Keduanya, diadili dengan adil dan saksama serta dijatuhkan hukuman setimpal.
 
Orang yang berlaku adil di dunia akan duduk di atas mimbar daripada mutiara di hadapan Tuhan yang bersifat Rahman kerana keadilan mereka di dunia. Orang beriman perlu berkasih sayang sesama mereka dan bersikap keras terhadap orang kafir. Perkelahian yang timbul adalah akibat salah faham dan salah terima.
 
Kita ditegah mengejek dan menghina orang lain. Perbuatan itu sering dilakukan mereka yang merasakan dirinya sempurna, tidak punya kekurangan, kealpaan dan kesalahan. Sebaiknya nama buruk diganti dengan panggilan baik kerana nama itu ada pengaruhnya bagi jiwa.
 
Begitu juga perangai buruk sangka yang mengundang perpecahan dan memutuskan silaturahim antara orang beriman. Kita perlu bersegera menghentikan, bertaubat dan menyesali perbuatan itu.
 

No comments:

Post a Comment