Pokok bangkong adalah salah satu dari pokok
hutan yang unik. Pokok, daun, hinggalah buahnya, sama seperti cempedak atau nangka.
Sekiranya terjumpa dalam hutan buah bangkong, tentu ada mengatakan buah
cempedak atau pun nangka.
Perbezaan bangkong dengan cempedak hanya pada
isinya. Isi buah bangkong terlalu nipis atau lebih tepat dikatakan tidak ada
isi. Jadi, tidak ada istilah makan isi buah bangkong. Biji bangkong ditutupi
oleh selaput menggantikan isi.
Namun, buah bangkong tetap ada manfaatnya
dan boleh dimakan. Bahagian boleh dimakan ialah bijinya. Kalau terjumpa buah
bangkong yang telah busuk atau berulat sekalipun, bijinya masih boleh diambil
untuk dimakan. Ulat tidak makan biji bangkong.
Buah bangkong jika diperam, iainya takkan
masak macam cempedak. Ia akan buruk dan kemudian dimakan ulat.
Untuk mendapatkan biji bangkong ada cara
yang unik. Ia dilakukan dengan cara memukul buahnya dengan kayu, dan bijinya
akan terpelanting keluar.
Saiz bijinya pula ada yang sama seperti biji cempedak. Dan ada juga yang besar seperti biji durian.
Biji bangkong kemudiannya dicuci. Pastikan
tidak ada getah melekat pada bijinya kerana dibimbangi memberi kesan racun.
Biji bangkong direbus dengan meletakkan sedikit garam ke dalam air rebusan
tersebut. Macam cara rebus biji cempedak dan nangka.
Setelah empuk, boleh dimakan begitu sahaja atau
dimakan dengan dicicah bersama kelapa dan gula melaka.
Buah bangkong memang sinonim dengan
penduduk pedalaman terutama ketika musim tengkujuh jika bekalan makanan
terputus. Memang sedap dihidangkan bersama kopi panas. Boleh sahaja ia dianggap
seperti makan pisang goreng ketika waktu petang.
Biji bangkong juga boleh dibuat masak
lemak. Ada juga yang dicampurkan bersama ikan untuk dijadikan asam pedas
tempoyak.
Pada dahulu buah bangkong bukan sahaja
digemari rakyat kebanyakan, bahkan di kalangan pembesar negeri.
Menurut sejarah, ada satu pelabuhan
Penambang Bangkong di Juasseh, Negeri Sembilan. Nama “Penambang Bankong” diambil
daripa nama pokok bangkong yang terdapat banyak di kawasan itu.
Penambang Bangkong pada ketika itu menjadi
antara pelabuhan utama di Negeri Sembilan. Jadi, ia sering dikunjungi pemimpin
negeri dan pedagang asing. Pada masa dahulu, terdapat laluan sungai yang boleh
dilalui kapal dagang kecil menyambungkan Selat Melaka ke Laut China Selatan.
Tempat ini menarik banyak golongan raja,
pembesar negeri serta pedagang asing antara lain kerana ingin menikmati biji buah
bangkong.
Pada zaman Penghulu Naam menjadi penghulu
pertama Luak Ulu Muar, beliau menghidangkan buah bangkong ini untuk santapan
diraja termasuk kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Melewar dan
Raja Lenggang yang berkenan singgah di pelabuhan itu.
Pedagang serta pembesar dari China, India
dan Timur Tengah turut dihidangkan dengan buah bangkong yang ketika itu begitu
popular dan sinonim dengan Penambang Bangkong.
Penambang Bangkong terkenal kerana daerah
ini adalah lokasi penting aktiviti perlombongan emas dan bijih timah selain
pengeluaran sawah padi, rotan, damar, akar kayu serta daun sirih.
Namun, Penambang Bangkong sudah hilang dari
peta, buah bangkong yang menjadi santapan tetamu diraja dan pedagang asing pada
abad kelima, juga sudah pupus dari kawasan itu.
Laluan perdagangan berkenaan serta
Penambang Bangkong hilang ditelan zaman, malah kini tinggalan pelabuhan itu
tidak lagi kelihatan dengan pembinaan empangan dikenali sebagai Empang Bangkong
pada 1969.
Saiz bijinya pula ada yang sama seperti biji cempedak. Dan ada juga yang besar seperti biji durian.
No comments:
Post a Comment