Saturday, 6 July 2024

PERANTAU KELANTAN DIRAYU PULANG

 
Negeri Kelantan dikenali dengan gelaran “Kelantan Darulnaim”. Gelaran atau penggunaan Kelantan Darulnaim telah diperkenankan oleh Sultan Muhammad IV pada tahun 1916.
 
Maksud “darulnaim” ialah “tempat atau kediaman yang menyenangkan”. Jadi, Kelantan Darulnaim bermaksud “negeri yang menyenangkan” atau “Kelantan yang menyenangkan”
 
Menyenangkan bukan sahaja merujuk kepada keadaan senang atau mewah secara fizikal. Darulnaim juga bermaksud sesuatu yang disukai, dikagumi, dihormati dan mengembirakan.
 
Peliknya, penduduk asal Kelantan banyak yang merantau mencari rezeki dan tinggal di luar Kelantan. Jumlahnya bukan sedikit. Boleh dikatakan di mana-mana agensi dan kawasan di seluruh negara ada perantau Kelantan.
 
Rakyat asal Kelantan diseru pulang ke Kelantan. Tinggal di Kelantan dan mencari rezeki di Kelantan. Peluang pekerjaan di Kelantan bukan tiada. Banyak sangat jika bijak mencari peluang. Inilah yang perlu dilakukan rakyat asal Kelantan untuk membangunkan Kelantan. Tenaga anak Kelantan yang bijak dan hebat amat diperlukan di negeri Kelantan.
 
Hayatilah ungkapan dan mutiara kata daripada tokoh dunia berkaitan negeri.
 
- B Colbert berkata: “Kebesaran suatu negeri, tidak diukur dengan luas daerahnya tetapi diukur daripada watak masyarakatnya.”
- Robespierre berkata: “Negeri yang merdeka adalah negeri yang mana hak-hak manusia dihormati dan semua undang-undang bersifat adil.”
- Plato berkata: “Manusia tidak lahir bagi dirinya sendiri, tetapi bagi negerinya.”
- Albert Camus berkata: “Saya perlu mencintai negeri saya dan keadilan.”
- R Bulwer Lython berkata: “Setiap orang perlu mencintai dan bangga pada negerinya sendiri, kerana dia dilahirkan di negeri itu.”
 
Firman Allah SWT dalam Surah Saba bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!” – (Surah Saba, ayat 15)
 
Bersyukurlah negeri Kelantan adalah negeri yang aman dan makmur. Hasil negerinya banyak. Rugilah jika rakyat asal Kelantan tidak mengambil manfaat ini. 

No comments:

Post a Comment