Saturday 22 February 2020

KENAPA NEGARA KAFIR LEBIH ISLAMIK


Berdasarkan kajian Indeks Keislaman pada 2018, Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam, menduduki tempat ke-47 sedangkan negara bukan Islam, New Zealand menduduki tempat pertama, diikuti Sweden, Belanda dan Iceland.

Indeks Keislaman mengukur sejauh mana amalan tadbir urus sesebuah negara dan ekonominya berlandaskan al-Quran dan hadis.

Matlamat utama kajian untuk menentukan sama ada negara ‘Islam’ (negara dengan jumlah penduduk Islam yang besar) benar-benar menghayati prinsip al-Quran berhubung mentadbir urus negara, ekonomi, hak asasi manusia dan hak politik serta hubungan antarabangsa atau tidak.

Malangnya, dapatan kajian menyatakan sebaliknya. New Zealand yang hanya mempunyai 1 peratus penduduk Muslim meraih skor indeks keseluruhan tertinggi sebanyak 9.2 daripada 10 yang amalan ekonominya lebih mencerminkan prinsip al-Quran dengan skor 9; hak asasi manusia dan politik (9.29) serta perundangan dan urus tadbir (9.58).

Dapatan bertentangan itu disebabkan komitmen liberal terhadap konsep kebebasan dan konsep kesamarataan hakiki (egalitarianisme) yang kuat tertanam dalam dinamik tadbir urus negara Barat selaras tema utama al-Quran, iaitu keadilan.

Al-Quran memerintahkan umat Islam agar berani menegakkan keadilan dalam apa jua bidang.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Hendaklah kamu sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat. Sama ada seseorang itu kaya atau miskin, (janganlah kamu enggan menjadi saksi) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (An-Nisa’: 135)

Negara Islam yang berjaya menduduki tempat ‘pertama’ dalam kajian itu ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu tempat ke-45 dengan indeks keseluruhan 6.18. Indonesia yang majoriti penduduk Islamnya terbesar di dunia meraih tempat ke-64 dengan skor indeks keseluruhan 5.05.

Sementara itu, Arab Saudi menduduki tempat ke-85 dengan skor indeks keseluruhan 4.42 dengan skor dasar hak politik dan hak asasinya hanya 3.63, manakala skor tadbir urus dan perundangan ialah 4.96.

Yaman, negara di selatan semenanjung Arab, dengan 98 peratus orang Islam mencatatkan prestasi terburuk dengan skor indeks keseluruhan 0.97, diikuti Sudan (1.25).

Bagaimana pula Malaysia? Malaysia meraih tempat ke-47 dengan indeks keseluruhan 6.02. Skor terendah dicatat dalam bidang hak asasi manusia dan hak politik (4.66), manakala hubungan antarabangsa mencatat 6.05 dan urus tadbir (6.39). Skor tertinggi adalah dalam amalan ekonomi (6.99).

Prestasi baik dalam amalan ekonomi mungkin disebabkan Malaysia ialah perintis pembangunan pasaran sukuk sedunia, selain dasar membasmi kemiskinan. Malaysia kini ialah pasaran sukuk utama dunia dengan sukuk bernilai AS$157.8 bilion (RM650 bilion) berjaya dikeluarkan pada 2019, berbanding AS$60 juta (RM251 juta) pada 2002.

Dalam kalangan negara Islam, Malaysia juga menduduki tempat ketiga dalam senarai selepas UAE dan Albania (tempat ke-46).

No comments:

Post a Comment