Wednesday, 11 October 2023

HAMZAH AWANG AMAT TOK DALANG WAYANG KULIT

 
Pos Malaysia mengeluarkan setem kenang-kenang tiga tokoh Seniman Negara dalam tiga kategori. Tema setem berjudul Setem Seniman Negara dikeluarkan pada 26 September 2023.
 
Gambar Hamzah Awang Amat, Seniman Negara Wayang Kulit diabadikan di setem bernilai 50 sen, Datuk Syed Ahmad Jamal, Seniman Negara Seni Tampak (60 sen) dan Haji Wan Su Othman, Seniman Negara Seni Ukir pada setem bernilai RM1.30 sen.
 
Tulisan ini cuba mendekati Hamzah Awang Amat, tokoh wayang kulit tersohor di Kelantan. Insan hebat ini dilahirkan di negeri Kelantan pada tahun 1940. Beliau mewarisi darah seni ayahnya yang juga merupakan pemuzik wayang kulit.
 
Seawal usia 6 tahun, Hamzah telah terdedah dengan Wayang Kulit secara serius. Minatnya begitu terserlah apabila beliau sanggup berjalan kaki lebih 4 kilometer hanya kerana ingin menonton persembahan wayang kulit.
 
Ayahnya menyedari kecenderungan beliau. Apatah lagi apabila Hamzah menyatakan hasratnya ingin berguru kepada tokoh Wayang Kulit yang masyhur waktu itu, Awang Lah bin Pandak.
 
Untuk tujuan tersebut, ayahnya telah mengajar beliau sebagai 'pelari patung' terlebih dahulu selama setahun. Sebagai pelari patung, Hamzah belajar memberikan patung secara tersusun kepada dalang. Ketepatan jenis patung yang hendak diberikan kepada dalang pada waktu tertentu amat mustahak agar adegan yang ditonjolkan tidak mengalami kecacatan.
 
Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh Hamzah untuk memupuk dan seterusnya menajamkan pemahamannya tentang seni pendalangan. Tambahan pula tahap pelari patung boleh dianggap sebagai peringkat permulaan bagi seseorang yang ingin menjadikan pendalangan sebagai profesion hidupnya.
 
Oleh kerana persembahan wayang kulit amat menitikberatkan penguasaan muzik tradisional maka Hamzah turut mendalami seni muzik wayang kulit. Malah satu syarat untuk berguru dengan Awang Lah ialah seseorang itu harus tahu memainkan sekurang-kurangnya satu alat muzik wayang kulit.
 
Beliau amat tekun mempelajari semua alat muzik wayang kulit selama 2 tahun. Guru beliau ialah Omar bin Yunus. Ilmu itu digunakan sebagai asas menubuhkan Kumpulan Seri Setia, kumpulan muzik tradisional untuk mengiringi persembahan wayang kulit pada tahun 1959.
 
Pada tahun 1962, hasratnya berguru dengan Awang Lah tercapai. Hamzah bersungguh-sungguh menimba ilmu dari dalang tersohor itu. Hamzah belajar menghidupkan pergerakan setiap patung agar bayangnya dapat timbul dengan segar di kelir. Kelincahan tangannya mengerakkan patung mendapat pujian Awang Lah lantas diberi gelaran dalang muda. Gelaran tersebut hanya untuk murid-muridnya yang menunjukkan prestasi cemerlang.
 
Untuk tugasan pertamanya, Hamzah harus mendalangkan cerita Dewa Panah. Cerita permulaan ini merupakan pembayang untuk pertempuran di antara Seri Rama dan Maharaja Wana. Percubaan ini adalah untuk melihat sejauh manakah penerimaan masyarakat terhadap dalang muda tersebut.
 
Ternyata dalang muda ini dapat mengendalikan cerita permulaan dengan baik. Selama 4 tahun tempoh percubaan itu dilakukan akhirnya Hamzah dapat mengendalikan persembahan solonya.
 
Pada tanggal 13 Oktober 1973, Hamzah menggegarkan warga kota Kuala Lumpur dengan persembahan wayang kulit bertempat di pentas terbuka Kompleks Budaya Negara.
 
Puluhan artikel menghebahkan fenomena tersebut dan pelbagai topik perbincangan hinggalah ke seminar diadakan. Kehidupan Hamzah berputar 360 darjah. Menjadi sejarah apabila Hari Kebangsaan dipersembahkan wayang kulit.
 
Figura ini bukan sahaja membuat persembahan dalam negara sahaja malah pernah mempersembahkan Wayang Kulit di Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, England, Kanada, Rome dan seluruh Asia.
 
Beliau juga menjadi pakar rujuk kepada penyelidik - penyelidik antaranya Patricia Ann Matusky dari University of Michigan, Barbara Ann dari Yale University dan Beth Osnen di mana beliau mempelajari peranan seorang dalang muda untuk desertasinya. Malah Osnes turut mempersembahkan episod dalang muda dalam Bahasa Inggeris di Amerika pada tahun 1992.
 
Beliau juga pernah dilantik sebagai pengajar kepada Kumpulan Theatreworks Singapura anjuran NAC (Majlis Seni Kebangsaan) Singapura.
 
Sumbangan Hamzah terhadap wayang kulit amat besar. Pelbagai anugerah dan penghargaan diterima:
- 1974 – Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
- 1977 – Pensyarah tamu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
- 1978 – Pingat Perangai Baik (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan
- 1989 – Pingat Pangkuan Negara (PPN)
- 1993 – Anugerah Seni Negara
- 1999 – Hadiah Fukuoka Kebudayaan Asia Jepun

Tokoh dalang wayang kulit tersohor negara ini, telah meninggalkan kita pada 1 Januari 2001.
 
SUMBER 


No comments:

Post a Comment