Friday 18 August 2023

DIBERI TARAF WARGANEGARA BUKAN IKUT PARTI

 
Tular di media sosial dakwaan kira-kira 54,000 warga China dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia untuk menjadi “pengundi DAP”.
 
Perkara itu ditularkan berdasarkan kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada 9 Jan lalu berhubung 54,000 permohonan kerakyatan.
 
Kenyataan itu telah dimanipulasi atau dijadikan propaganda pembangkang yang menggunakan jumlah itu sebagai angka keseluruhan warganegara China yang memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
 
Sedangkan sebenarnya jumlah 54,000 permohonan tersebut merujuk permohonan dari 2017 hingga 2022 meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan dari pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal.
 
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7000 permohonan telah diluluskan dalam tempoh tersebut.
 
Secara statistik, ini menunjukkan purata kira-kira 9000 permohonan kewarganegaraan diterima setiap tahun dan hanya purata 1,166 permohonan diluluskan dalam setahun atau hanya purata 3 orang sehari diluluskan.
 
Perlu diingatkan sekali lagi, jumlah permohohanan 54,000 dan yang diluluskan 7,000 itu bukan semua dari warganegara China. Ia meliputi semua kategori dan dari semua negara. Dan jumlah itu termasuklah pasangan yang berkahwin dengan warganegara Malaysia.
 
Hakikatnya, sejak 2019 hingga 31 Julai tahun ini, katanya, hanya 45 warga China diberikan kewarganegaraan Malaysia. Kalau ikut purata tahunan, seramai 11 orang warganegara China mendapat kerakyataan Malaysia dalam setahun.
 
Diharap fakta ini dapat menjelaskan kekeliruan dan keresahan orang ramai berhubung dakwaan disebarkan di media sosial.
 
Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.
 
Proses yang dilaksanakan JPN tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.

No comments:

Post a Comment