Monday 4 September 2023

MERAIKAN PERBEZAAN DALAM MASYARAKAT

 
Sejak perjuangan kita merebut kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah melalui perjalanan yang panjang, penuh dengan cabaran dan ujian. Pelbagai cabaran politik, ekonomi, dan sosial telah membangkitkan ketegangan dan mempertaruhkan kesepaduan kita.
 
Namun, kita telah menunjukkan kepada dunia bahawa kepelbagaian yang ada di kalangan kita bukanlah beban, malah merupakan sumber kekayaan yang harus kita hargai dan pelihara.
 
Ini kerana Malaysia adalah rumah bagi pelbagai etnik, agama, dan budaya. Kita memiliki bahasa yang beraneka ragam, kepercayaan yang beragam, dan tradisi yang unik.
 
Slogan walau kita berbeza, namun tetap teguh bersama adalah sangat relevan dengan masyarakat Malaysia. Dalam dunia yang semakin kompleks ini, kita dituntut untuk memahami dan menghargai perbezaan, tanpa mengabaikan persamaan dan kepentingan bersama.
 
Negara kita juga sedang menghadapi cabaran global dan teknologi yang berkembang pesat, Oleh itu, adalah penting untuk kita mengukuhkan semangat perpaduan dan kepelbagaian yang di dalam masyarakat.
 
Dengan berpegang pada nilai-nilai keadilan, toleransi, dan saling menghormati diharap agar kita dapat mewujudkan sebuah negara Malaysia yang stabil dan harmoni, serta dapat memberikan sumbangan yang berharga kepada dunia.
 
Raikanlah perbezaan di antara kita dengan sikap yang lebih terbuka dan berlapang dada. Jauhi sengketa kecil seperti perbezaan ideologi politik kerana kita mempunyai sesuatu yg lebih besar untuk dipertahankan iaitu perpaduan dalam masyarakat demi memenuhi harapan sebuah negara yang makmur dan harmoni.
 
Dr Hafidzah Mustakim
ADUN N09 Kota Lama

No comments:

Post a Comment