Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada
April 1930. Asas perjuangan PKM adalah untuk menyebarkan fahaman komunis di
Malaya. Fahaman komunis ketika itu berkembang di Eropah Timur yang berpusat di
Rusia. Di Asia pula, negara China menjadi kuasa terbesar fahaman komunis.
Fahaman komunis menolak kewujudan Maha Pencipta.
Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan di Batu
Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan 30 April 1930. Bapa Revolusi Vietnam, Ho
Chi Minh hadir sebagai wakil Communist International (Comintern) dan merasmikan
penubuhan PKM.
Daripada buku ingatan Abdullah CD (1923)
sejarah merakamkan pada perasmian itu ada hadir buruh Tionghua, ada penoreh
getah Tionghua dan hadir sama penoreh getah Melayu dan disertai juga oleh kaum tani
Melayu. Ideologi PKM ialah Marxisme. Maknanya dasar dan perjuangan PKM ialah
untuk mendirikan Tanah Melayu yang bebas merdeka daripada cengkaman penjajah
Inggeris. Mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Mendirikan Republik Tanah
Melayu.
Pada tahun 1930 ketika PKM ditubuhkan Tanah
Melayu adalah tanah jajahan Inggeris.
Ideologi komunis mengajukan sikap internasionalisme iaitu umat sejagat tanpa bangsa. Slogan “Buruh Sedunia Bersatulah, tidak ada yang hilang kecuali rantai penindasan.
Slogan ini kukuh mengegar dunia termasuk di
Tanah Melayu. Ajaran Marxis mendidik umat manusia untuk menerima bahawa bumi
ini adalah bumi milik bersama umat manusia. Dunia ini adalah milik anak semua
bangsa.
Ini fahaman dan ajaran yang dipegang oleh
semua parti-parti komunis dalam tahun-tahun 1930-an. Ini dalam era pasca
Revolusi Bolshevik 1917 dan sebelum munculnya Republik Rakyat China pada tahun
1949.
Di Tanah Melayu gerakan komunis dan gerakan
kiri cukup ampuh. Gerakan yang paling tersusun adalah kesatuan sekerja kaum
buruh. Buruh ladang getah dan buruh lombong bijih disusun dalam kesatuan
buruh. Kesemua buruh ini adalah buruh import iaitu pendatang dari China dan
India. Orang Melayu pada ketika itu kebanyakan menjadi petani sara hidup atau bekerja
sendiri dalam bidang pertanian.
Kehadiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu
ini menimbulkan kesedaran nasionalisme. Semangat mahu bebas. Semangat mahu
bertuankan diri sendiri. Semangat mahu merdeka lahir akibat adanya penjajah
Inggeris.
Kaum Melayu bangun berjuang mahu tanah air
mereka dipulangkan kepada mereka. Kaum Melayu tidak mahu dijajah. Manakala kaum
buruh Cina dan India mahu upah buruh yang berpatutan, adil dan bebas daripada
penindasan tuan ladang dan tuan lombong.
Maka, wujud kepentingan bersama mendobrak
Inggeris. Kaum buruh menentang kaum pemodal yang menindas. Kaum Melayu mahu
merdeka. Ini bibit-bibit Barisan Bersatu demi kepentingan bersama masing-masing.
Justeru laungan merdeka pertama di Tanah
Melayu datang daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM - 1938-1945). KMM dibubarkan
pada tahun 1945. Sebuah parti politik baru iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM) ditubuhkan sebagai ganti pada tahun 1945, iaitu 17 Oktober 1945.
Ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu,
penggerak fahaman komunis menubuhkan Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA)
dan berkerjasama dengan British.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, ahli
MPAJA diarahkan menyerahkan senjata kepada British yang kembali mentadbir negara.
Namun, sebilangan ahli MPAJA tidak berpuas hati dengan arahan tersebut dan
membantah British yang kembali menguasai negara.
MPAJA dibubarkan, namun ahli yang membantah
British kembali berkuasa menjadikan PKM sebagai landasan untuk terus
memperjuangkan perjuangan mereka. Mereka telah mengundurkan diri dan
bersembunyi di hutan-hutan dan menghasut rakyat menentang pemerintahan
British.
Beberapa kejadian pembunuhan terhadap
rakyat serta menyerang dan merosakkan ladang-ladang getah, membakar bas dan
kenderaan yang telah dilakukan oleh kumpulan ini dengan
sewenang-wenangnya. Kerajaan British terpaksa mengistiharkan keadaan
Darurat diseluruh negara pada 8 Jun 1948.
Semasa Darurat diistiharkan Askar Melayu
hanya berkekuatan 3 batalion. Mereka telah berjuang menentang pengganas komunis
bersama tentera British, tentera dari negara-negara Komanwel dan pasukan Polis.
Askar Melayu telah diperbesarkan meningkat
kepada 7 batalion sehingga tahun 1956. Dalam jangkamasa yang sama Kor
Peninjau (Armor) dan Rejimen Semboyan telah ditubuhkan.
Dengan penubuhan dua pasukan baru ini
perkembangan Tentera Darat bertukar corak dengan memberi kesempatan kepada bangsa-bangsa
bukan Melayu berganding bahu bersama mempertahankan negara.
Kemudian Rejimen Jurutera ditubuhkan
diikuti dengan Kor Polis Tentera. Dengan bertambahnya anggota Tentera Darat,
kejayaan demi kejayaan dalam menghapuskan pengganas komunis telah tercapai. Akhirnya
dalam tahun 1960 Darurat diistiharkan tamat.
Perjuangan komunis tidak boleh dianggap
sebagai perjuangan untuk kemerdekaan. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan
PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Sebab itu, biarpun negara telah
mencapai kemerdekaan, PKM terus menentang kerajaan dan terus membuat onar yang
menyebabkan darurat terus dikuatkuasakan sehingga tahun 1960.
Perjuangan PKM mendapat sokongan orang Cina
dan sebilangan orang Melayu. Antara tokoh komunis di kalangan orang Melayu
ialah Samsiah Fakeh dan Abdullah CD. Namun, secara keseluruhan perjuangan PKM
tidak mendapat sambutan rakyat.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan
daripada masyarakat, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng telah meminta perundingan
diadakan pada 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan
Tunku Putera, Baling pada 1955.
Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang
mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan menolak menyertai
pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak
tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Chin Peng kembali ke dalam hutan dan
melakukan keganasan. PKM terus menyebarkan propaganda agar rakyat membenci
usaha untuk mencapai kemerdekaan. Sepanjang keganasan dilakukan oleh PKM,
seramai 2,083 anggota keselamatan negara terkorban dan mencacatkan 3,541
anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang
lain cedera.
Setelah komunis runtuh di Rusia dan runtuhnya
Tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian
damai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dengan PKM ditandatangani di
Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan
bersenjata. Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali
ke Malaysia dengan syarat membuat permohonan. Namun Chin Peng tidak membuat
permohonan kembali ke Malaysia dalam tempoh yang ditetapkan.
Ideologi komunis mengajukan sikap internasionalisme iaitu umat sejagat tanpa bangsa. Slogan “Buruh Sedunia Bersatulah, tidak ada yang hilang kecuali rantai penindasan.
Baca juga:
Sejarah Chin Peng
No comments:
Post a Comment