Wednesday 4 September 2024

PENGELOLA KORBAN TIDAK BERHAK BAHAGIAN DAGING

 
Banyak orang Islam faham atau tahu bahawa haram hukumnya penyembelih korban dibayar upah dengan daging korban.  
 
Daripada Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali berkata: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.” (Riwayat Muslim 1317)
 
Oleh itu, hadis di atas menjadi dalil kepada haram untuk seorang penyembelih mengambil upah daripada haiwan korban tersebut. Namun begitu, upah atau saguhati  boleh diberikan kepada penyembelih dengan syarat mesti daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban sendiri. (Rujuk Ma’alim al-Sunan 158/2; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 65/9).
 
Namun, tidak banyak orang tahu bahawa pengelola korban juga tidak boleh menetapkan atau mensyaratkan jumlah daging tertentu diberikan kepada pengelola korban. Perbuatan menetapkan peraturan itu oleh pengelola juga termasuk upah yang dilarang.
 
Ada pengelola korban hanya memberikan sejumlah daging kepada pemilik korban dan selebihnya akan diuruskan oleh pengelola korban untuk diagih-agihkan kepada penerima yang telah ditetapkan.
 
Pengelola korban menetapkan jumlah tertentu atas alasan itu adalah jumlah yang layak untuk dimakan berdasarkan kepada 1/3 bahagian. Manakala 2/3 bahagian pula terus diambil oleh pengelola untuk diagih-agihkan.
 
Sepatutnya, tidak boleh pihak pengelola menetapkan jumlah untuk peserta melakukan korban. Jumlah daripada tujuh bahagian lembu itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada peserta korban mengikut bilangan bahagian masing-masing.
 
Kemudian, terpulanglah kepada peserta korban untuk menyerahkan kembali kepada pengelola tanpa ditetapkan jumlahnya. Maksudnya, jika tidak diserahkan langsung pun tidak mengapa. Tiada syarat untuk menyerahkan kepada pengelola korban.
 
Memang keadah ini menyukarkan kepada pengelola untuk menetapkan bilangan mereka yang akan diserahkan daging korban. Tambah lagi jika hendak menentukan jumlah kupon yang ingin diagihkan kepada penduduk kampung yang akan mendapat bahagian masing-masing.
 
Jadi, pengelola korban boleh bertanya kepada peserta korban jumlah mereka ingin serahkan daging kepada pengelola untuk diagih-agihkan. Jumlah itu tidak boleh ditetapkan atau dipaksa. Peserta korban dibolehkan untuk tidak menyerahkan langsung.

 

No comments:

Post a Comment