Saturday 31 October 2020

Majlis penyerahan cek kepada Yayasan LTAT

Kuala Lumpur, 30 Okt 2020. Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob telah menghadiri Majlis Penyerahan Cek Sumbangan kepada Yayasan LTAT oleh Affin Hwang Asset Management Berhad. Majlis yang turut dihadiri Pegawai-pegawai Tertinggi ATM ini berlangsung  di Ruang Sidang Media 1, Wisma Pertahanan pada 30 Okt 2020.

Penyerahan sumbangan oleh Affin Hwang Asset Management sebanyak RM1,500,000.00 merupakan komitmen tahunan kepada Yayasan LTAT bagi memberi bantuan dermasiswa kepada anak-anak ATM dan veteran ATM.

Dermasiswa yang diberikan melalui Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) dikhususkan kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA tempatan.

Sumbangan tersebut turut disalurkan kepada veteran dan balu ATM melalui Bantuan Sara Hidup.

Yayasan LTAT dengan kerjasama Jabatan Arah Pendidikan telah menganjurkan Majlis AKP bermula pada tahun 1991. Sejak program ini dilaksanakan 30 tahun lalu seramai 14,121 orang penerima telah menikmati insentif yang telah disediakan. Jumlah ini melibatkan 8,417 orang penerima yang cemerlang dalam PMR/PT3 dan 3,800 orang penerima yang cemerlang dalam SPM dan 1,904 orang penerima untuk kemasukan ke universiti awam. Pada tahun ini, seramai 427 orang pelajar akan menerima anugerah ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM437,400.00 oleh Yayasan LTAT.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg Dato' Sri Muez bin Abd Aziz Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan panglima-panglima perkhidmatan.

FB – Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan)

No comments:

Post a Comment