Friday 21 January 2022

KWSP BUKAN JAMINAN KESELAMATAN HIDUP HARI TUA

 
Kita impikan hidup pada usia tua dengan tenang dan bahagia bersama anak dan cucu. Ketika itu, rata-rata tidak lagi bekerja atau mempunyai tugas besar untuk dilakukan, melainkan meneruskan peluang masih hidup sebelum mengadap Maha Pencipta.

Kebahagian hidup pada usia tua sering dikaitkan dengan adanya keperluan hidup seperti tempat tinggal dan keperluan lain hasil usaha ketika usia muda. Bagi yang mempunyai pencen, kehidupan mereka agak terjamin. Namun, bagaimana pula yang tidak berpencen?

Bagi mereka bekerja di sektor swasta, mereka ada simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Persoalannya, berapa banyak yang disimpan? Cukupkah untuk digunakan pada hari tua.

Jumlah yang diperlukan untuk digunakan semasa hari tua adalah subjektif. Tidak ada jumlah yang boleh dikatakan telah mencukupi atau tidak mencukupi.

Banyak juga orang dapat menyimpan dalam jumlah yang banyak dalam KWSP tetapi hidupnya susah ketika hari tua. Mengapa terjadi begitu?

Setelah genap umur 55 tahun dan tidak lagi bekerja, wang simpanan boleh dikeluarkan sepenuhnya. Ada yang tidak pandai menguruskan wang, wang yang disimpan berpuluh-puluh tahun akan habis dalam masa yang singkat.

Dengan kata lain, wang disimpan dalam KWSP bukan satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup hari tua?

Apa yang penting ialah sikap pengurusan wang yang betul. Sebab itu, ada orang yang tidak ada simpanan KWSP, tetapi mampu menguruskan kewangan dengan baik sehingga ke hari tua.

Simpanan atau membuat simpanan itu adalah perlu. Namun, keperluan semasa perlu diutamakan. Masa depan belum pasti apa akan berlaku. Apa yang dihadapi sekarang ada kenyataan yang perlu dihadapi.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, banyak individu dan keluarga menghadapi masalah kewangan yang serius. Mereka memerlukan wang untuk kelangsungan hidup. Tanpa wang mereka akan tersungkur dan sukar untuk bangkit.

Tidak guna ada simpanan jika tidak boleh digunakan. Soal simpanan hari tua boleh diusahakan kemudian. Apa yang diperlukan difikirkan adalah masalah dihadapi sekarang.

No comments:

Post a Comment