Tuesday, 26 June 2018

JEN (B) TUN IBRAHIM ISMAIL PANGLIMA ATM ANAK MELAYU KETIGA

Jen (B) Tun Ibrahim Ismail adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia ketiga dalam kalangan anak tempatan. Beliau dilahirkan pada 19 Oktober 1922. Ayahanda beliau, Datuk Ismail bin Abu Bakar adalah pegawai Kerajaan Johor yang bersara sebagai Bendahari Kerajaan Johor. Pada masa yang sama, Datuk Ismail juga pegawai dalam Pasukan Tentera Sukarela Johor (Johore Volunteer Force, JVF).

Tun Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Air Molek. Beliau kemudian bertukar ke Sekolah Inggeris Ngee Heng dan Sekolah Inggeris Bukit Zaharah. Pendidikan menengah beliau dapati di English College, kini Maktab Sultan Abu Bakar sehingga tamat Senior Cambridge.

Pada awalnya beliau bercita-cita hendak menjadi akauntan, namun kekurangan peluang ketika itu mengubah pendirian beliau untuk menyertai kerjaya tentera. Sebagai rakyat Johor bagaimanapun, beliau tidak boleh menganggotai Askar Melayu kerana ianya hanya dibuka untuk rakyat Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.

Oleh itu beliau menyertai pemilihan pegawai kadet Johore Military Force  (JMF) pada April 1941. Beliau diterima dan dihantar ke Dehra Dun, India, bersama dua orang lagi pegawai kadet iaitu, Hussein Onn dan Ungku Ahmad bin Ungku Abdul Rahman.

Di Dehra Dun, beliau menjalani latihan intensif dan padat. Ketika itu Perang Dunia Kedua telah pun berlarutan di Eropah dan Inggeris berpendapat pasukan Tentera British India perlulah diperbesar dengan segera.

Beliau dan rakan-rakan sepasukannya menamatkan latihan pada Februari 1942 ketika kemuncak penyerangan Jepun ke atas Tanah Melayu. Beliau kemudiannya menerima tauliah sebagai Lt Muda dalam Rejimen Hyderabad dari Baginda Raje George VI.

Semasa di India, beliau telah berkenalan dengan Mej Tengku Mahmood Mahyideen, tokoh penting yang terlibat dalam Force 136. Dengan pertemuan inilah beliau menawarkan diri menyertai pasukan yang menyusup ke Tanah Melayu untuk menentang Jepun. Beliau juga berkesempatan berkenalan dengan Claude Fenner, yang kemudiannya menjadi Ketua Polis Negera.

Beliau mengetuai pasukan kecil anak-anak Melayu di perantauan telah melakukan cubaan menyusup beberapa kali sehingga akhirnya tertangkap dan dijadikan tawanan perang oleh Kempeitai, polis tentera Jepun. Beliau ketika itu berpangkat Leftenan berjaya memperdaya pihak Jepun dengan berpura-pura berpaling tadah.

Tindakan bijak beliau dan pasukannya bukan sahaja beberapa kali menyelamatkan nyawa mereka tetapi dapat mengelirukan perisikan Jepun yang mereka bekalkan dengan maklumat-maklumat palsu. Untuk perkhidmatan beliau, Raja George VI telah mengurniakan pingat Member of the Order of the British Empire, MBE.

Selepas perang tamat, beliau berkhidmat dengan JVF seketika. Bagi melanjutkan kerjaya tentera, sepatutnya beliau menyambung untuk menyertai Rejimen Askar Melayu, tetapi beliau kecewa kerana layanan yang tidak setaraf diterima oleh pegawai-pegawai Melayu berbanding pegawai-pegawai Inggeris.

Sekitar tahun 1949, beliau masih bekhidmat dengan tentera Johor bersama-sama (Tun) Hussein Onn melatih unit-unit polis di Johor bagi menghadapi ancaman komunis ketika Darurat. Hanya pada Jun 1951, beliau menyertai Askar Melayu setelah pegawai-pegawai Melayu diterima setaraf dengan pegawai Inggeris.

Tun Ibrahim ialah salah seorang dari tiga anak Melayu pertama yang menjadi Pegawai Memerintah batalion. Pada April 1958 Lt Kolonel Abdul Hamid Bidin dilantik memerintah Batalion Pertama, Lt Kol. Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa memerintah Batalion Kedua, manakala beliau memimpin Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja.  

Pada Februari 1962, beliau dinaikkan ke pangkat Brigedier dan dilantik sebagai Pengarah Pentadbiran Tentera Darat. Pada tahun berikutnya beliau menjadi Pegawai Memerintah (kini Panglima, berikutan perubahan Brigedier kepada Brigedier Jeneral) Briged Kelima Infantri yang beroperasi di Sabah ketika Konfrantasi Indonesia-Malaysia.

Pada awal tahun 1965 pula beliau mengetuai Briged Pertama. Tidak sampai beberapa bulan selepas itu beliau mengambil alih pula pemerintahan Briged Keempat di Singapura. Pada Julai 1966, beliau dilantik menjadi Panglima Divisyen Infantri Pertama (1 Div) dan dinaikkan pangkat Mej Jeneral. Ini ialah divisyen pertama yang ditubuhkan dan beliaulah panglima pertamanya.

Dua tahun kemudian, Tun Ibrahim dinaikkan pangkat sekali lagi kepada Lt Jeneral ketika memegang jawatan sebagai Panglima Divisyen Infantri Kedua.
Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus pada tahun berikutnya dan Tun Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengerusi MAGERAN iaitu Tun Abdul Razak.

Pada penghujung tahun 1969, beliau telah dinaikkan pangkat Jeneral. Ketika ini juga adalah kali pertama Tentera Darat mempunyai dua orang Jeneral penuh, beliau dan Tan Sri Hamid Bidin yang baru dilantik Ketua Turus Angkatan Tentera. Beliau akhirnya menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bidin sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada 1 Julai 1970.

Sepanjang menjadi panglima tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, beliau banyak mengaturkan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi membanteras ancaman komunis rentas sempadan. Dan tidak kurang dari tiga kali juga beliau menjadi sasaran serangan pihak komunis disebabkan keberkesanan strategi beliau.

Pada 30 November 1977, Tun Ibrahim menamatkan perkhidmatan beliau setelah 36 tahun di dalam tentera. Beliau telah berkhidmat selama 7 tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera.  

Beliau telah menulis dua buah buku yang menghimpunkan pengalaman-pengalaman beliau. Buku pertama, Sudahkah Kamu Bertemu Mariam diterbitkan pada tahun 1984 menceritakan pengalaman beliau ketika Perang Dunia Kedua.

Buku kedua beliau, Ibrahim, Pahlawan Melayu pula mengandungi seluruh kisah kerjaya beliau ketika era menjelang Kemerdekaan hinggalah beliau bersara.

Pada 2000 beliau dikurniakan darjah Seri Setia Mahkota, yang membawa gelaran Tun. Gelaran Tun yang diterima itu adalah yang pertama untuk anggota tentera atas dasar jasa sebagai anggota tentera. Perkahwinan beliau dengan Toh Puan Zakiah binti Ahmad dikurniakan empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.

Tun Ibrahim meninggal dunia di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada 23 Disember 2010 ketika berusia 88 tahun. Beliau dimakamkan di Makam Pahlawan berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur. Beliau adalah anggota tentera pertama dimakamkan di sana.

No comments:

Post a Comment