Wednesday 4 July 2018

ETIKA KOMUNIKASI ISLAM MENCARI KEBAIKAN

Terdapat terdapat etika khusus perlu diikuti dalam berkomunikasi. Etika akan membantu kita melakukan sesuatu berdasarkan apa yang telah menjadi piawaian atau ketetapan untuk mencapai maksud mencari kebaikan. 

Dalam Islam, setiap apa yang dilakukan di dunia ini bukan saja memberi kesan di dunia saja, bahkan ia turut menentukan kedudukan seseorang di akhir nanti. Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan, tidak kira sebesar zarah, sama ada baik atau buruk tetap diperlihatkan di akhirat kelak, yakni menerima pembalasan yang setimpal. 

Hal ini tidak terkecuali berkaitan dengan komunikasi. Maka itu, etika berkomunikasi dalam Islam amat mementingkan kedua-dua kesan iaitu di dunia dan akhirat. Apa yang dilakukan berkaitan komunikasi memberi kesan di dunia dan akhirat. Contohnya, Islam melarang menyebarkan fitnah kerana kesan buruknya amat besar. Maka itu dalam Islam diumpamakan keburukan menyebarkan fitnah disamakan seperti membunuh, bahkan lebih besar dosanya. 

Sesungguhnya ajaran Islam amat mementingkan komunikasi yang baik. Seperti diketahui, gaya badan juga satu bentuk komunikasi, contohnya senyum. Dalam Islam, senyum adalah sebahagian daripada sedekah. Betapa indahnya Islam. Senyumpun dikira sedekah, yang balasan kebaikannya turut tercatat untuk dihisab di akhirat kelak.

Berbeza dengan komunikasi konvensional yang hanya mementingkan kesan dalam komunikasi. Apa yang penting komunikasi itu mencapai matlamatnya. Contohnya, jika komunikasi yang dilakukan itu untuk memburukkan seseorang, maka ia dianggap berjaya jika hasrat atau tujuan memburukkan itu tercapai. 

Biarpun bukan Islam terikat pada nilai-nilai moral dalam berkomunikasi, mereka hanya merasakan itu perlu dilaksanakan atas tujuan mencapai kebaikan atau matlamat di dunia semata-mata. Mereka tidak memikirkan apa yang terjadi selepas kematian dan hari pembalasan. 

Sebab itu, komunikasi yang tidak berasaskan Islam, khususnya melalui media massa, banyak unsur gosip liar, fitnah dan penipuan terancang berlaku dengan berleluasa. Malah, ada media yang popular semata-mata berita bersifat gosip liar. Mereka menyajikan berita secara tidak beretika semata-mata untuk mengaut keuntungan. Akibat berleluasanya amalan komunikasi sedemikian, ia sudah diterima sebagai satu kebiasaan dalam masyarakat.

Banyak media massa mengamalkan etika tidak selari dengan kehendak Islam. Budaya ini sudah sebati di negara Barat, dan kini telah menular di negara kita. Malah, jika ditinjau di pasaran sekarang, majalah yang bersifat gosip dan berita murahan lebih banyak menguasai pasaran akhbar dan majalah di negara kita. Manakala rancangan televisyen yang berbentuk gosip juga mendapat rating tertinggi berbanding rancangan-rancangan lain.

Sama juga dengan semua prrofesion lain, wartawan juga terikat dengan etika.  Mereka perlu memahami dan mengamalkan etika agar tidak terjabak dengan berita sensasi yang melanggar nilai akhlak dan mungkin mendatangkan keburukan kepada diri sendiri. Kita dapati banyak kes di mana wartawan disaman berjuta-juta ringgit oleh pihak yang merasakan diri diaibkan, mendatangkan kerugian atau masalah disebabkan sesuatu berita yang tidak benar ditulis oleh wartawan.

Wartawan terikat kepada kaedah penulisan 1H dan 4W iaitu how, where, when, what dan who. Kaedah itu jelas dan jika dipatuhi sepenuhnya wartawan tidak akan berdepan untuk menghasilkan tulisan yang baik. 

Diharapkan ia dapat memberi kefahaman lebih mendalam berkaitan etika kewartawanan berdasarkan kepada ajaran Islam. Pengamal media dari kalangan Islam perlu ditambah agar umat Islam tidak disajikan dengan berita yang merugikan umat Islam. Musuh-musuh Islam menguasai media massa dengan mudah menggunakan untuk menghancurkan Islam.  

Umat Islam perlu menggunakan senjata media untuk bangkit membela nasib ummah. Perkara paling penting ialah wartawan Islam perlu menunjukkan contoh yang baik agar lebih dihormati dan dicontohi dalam melahirkan sesuatu berita yang tepat, benar dan mendatangkan manfaat.

Wartawan tidak akan tersasar melaporkan sesuatu berita atau membuat komentar jika sedar bahawa dia memegang amanah yang besar terhadap agama, bangsa dan tanahair. Pena wartawan mampu mengubah minda pembaca ke arah yang dikehendaki. Jadi, gunakan kuasa minda itu ke arah kebaikan dan bukannya mendatangkan malapetaka kepada ummah. 

Betapa besarnya peranan wartawan dan akhbar, Napalion Bonapet pernah menukilkan kata-kata aku lebih takut mata pena wartawan berbanding daripada sekalian banyak bala tentera di medan perang.

No comments:

Post a Comment