Monday 11 June 2018

KESAN BAHAYA UKIR TATU DI BADAN

Amalan mengukir tatu di badan menjadi tradisi sejak zaman dahulu. Tradisi kuno itu masih diteruskan, terutama di kalangan remaja, termasuk artis terkenal di luar negara. Terdapat alasan mengapa perlu mengukir tatu di badan. 

Tatu atau tanda cacah pada tubuh badan bagi masyarakat Iban sebagai contoh dianggap simbol keberanian dan kepahlawanan, yang menjadi sebahagian daripada upacara ritual meraikan kejayaan memenggal kepala musuh mereka.

Tradisi kepahlawanan masyarakat dahulu di seluruh dunia mengaitkan tatu sebagai kedudukan yang perlu dihormati. Tidak keterlaluan jika dikatakan tanda tatu boleh disamakan dengan tanda pangkat seseorang.

Hal sama digunakan oleh kumpulan kongsi gelap untuk membuktikan mereka kumpulan yang perlu ditakuti kerana bersedia menggunakan kekerasan, termasuk membunuh jika permintaan mereka tidak ditunaikan.

Hakikatnya, keberanian dan kekuatan bukan bersumberkan kepada tatu yang diukir pada badan. Keberanian dan kepahlawan adalah lahir dari hati yang benar-benar mempunyai keyakinan terhadap apa yang dilakukan. Dalam Islam, ia adalah keyakinan dan keikhlasan melakukan semata-mata kerana Allah.

Pengukiran tatu sebagai tanda membangkitkan semangat juang pahlawan hanya satu ilusi. Pahlawan Islam yang berjaya meluaskan empayar Islam tidak seorangpun bertatu atau mengharapkan keajaiban tatu. Mereka bergantung harap hanya kepada Allah dan melakukan dengan harapan untuk mendapat keredaan Allah.

Sebenarnya, amalan mengukir tatu di badan ditegah dalam Islam. Larangan tersebut sepertimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Dilaknat wanita yang menyambung rambut dan wanita yang meminta untuk disambungkan rambutnya, wanita yang mentatu dan wanita yang meminta untuk ditatu”

Menurut Imam Nawawi bahawa tatu itu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian diisi tempat itu dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup) sehingga menjadi hijau.

Tatu sebenarnya memberi kesan buruk kepada kesihatan orang bertatu. Contohnya ia menyebabkan alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan. Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.

Perbuatan itu juga boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti Hepetitis B, jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan.

Diriwayatkan daripada Abdullah: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan-perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya, (semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang itu akan menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklif (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka.

Sesiapa yang telah terlanjur mentatu dirinya maka wajib baginya menghilangkan tatu itu.

Bagaimanapun, jika usaha untuk menghilangkan tatu itu boleh mendatangkan mudarat atau kesakitan yang mana orang bertatu itu merasakan dirinya tidak dapat menanggung kemudaratan itu, maka tidak wajib baginya menghilangkan tatu itu.

Jika dia merasakan mampu menghadapi kesakitan itu dan tidak mendatangkan bahaya berkekalan, maka wajib baginya melakukan apa-apa jua usaha untuk menghilangkan tatu itu. Ini kerana tatu yang ada di badan akan menyebabkan bahagian itu tidak sampai air ke bahagian berkenaan.

Jadi, jika ia sebahagian daripada bahagian yang perlu dibasuh atau bahagian wudud, maka wudud itu tidak sah dan menyebabkan sembahyang tidak sah. Begitu juga bahagian lain yang perlu dibuang tatu kerana semua bahagian badan perlu dikenakan air ketika mandi wajib. Maka itu, semua tatu sebenarnya perlu dibuang.

Namun, seperti telah dijelaskan tadi, jika orang ditatu itu merasakan tidak ‘mampu’ untuk membuang tatu itu, maka tidak wajib baginya membuang tatu itu. 

Segala hal berkaitan dengan tatu itu boleh dianggap seperti tatu itu tidak ada lagi. Contohnya, sah ambil wudud dan mandi wajib biarpun di bahagian badan ada tatu.  Maka, segala ibadat yang berkaitan juga adalah sah.

Aspek sanggup menanggung kesakitan dan mudarat diberi perhatian kerana usaha membuang tatu dianggap perkara mudah dan memerlukan perbelajaan besar untuk melakukan pembedahan. Dalam hal ini sudah memadai dia memohon ampun dan bertaubat.

Antara kaedah moden menghilang tatu ialah menggunakan laser yang boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh dicerna oleh kulit. Kaedah menggunakan rawatan laser bagi membuang ukiran tatu mengambil masa lima hingga tujuh sesi itu bergantung kepada keadaan tatu.

Kekerapan sesi rawatan bergantung kepada tatu itu sendiri yang meliputi jenis dakwat yang digunakan, saiz dan peringkat lapisan kulit yang dicacah. Proses ini mengambil masa lebih 10 bulan kerana selepas menjalani rawatan sesi pertama, pesakit akan menunggu kira-kira enam minggu untuk ke sesi kedua dan seterusnya.

Kaedah lain ialah excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu. Namun, tidak ramai yang memilih kaedah ini kerana akan meninggalkan kesan parut berikutan proses penampalan kulit daripada bahagian tubuh yang lain.

Manakala kaedah salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit. 

Satu lagi kaedah biasa digunakan ialah menggunakan Silver Nitrate yang dimasukkan asid dan nitrat tersebut ke bawah kulit, sebagaimana tatu dihasilkan.

Seharusnya kita tidak terpengaruh mengikut amalan mereka yang tidak ada peraturan agama dalam hidupnya. Islam agama yang indah dan menjaga setiap tindakan umatnya agar tidak mendatangkan keburukan.

1 comment:

  1. Thanks for sharing the info regarding best way to remove tattoo. If you wish to have laser tattoo removal service, kindly contact Ava Clinic in Malaysia.

    ReplyDelete