Bagi masyarakat Cina di negara ini,
sambutan Tahun Baru Cina dilihat seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan yee sang
yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.
Dengan campuran hirisan sayur-sayuran
seperti lobak merah dan lobak putih, halia, kepingan ikan mentah serta kekacang
yang ditumbuk, ditambah pula dengan sos plum dan jus limau, menjadikannya
begitu menyelerakan bagi sesiapa sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.
Walaupun yee sang dikatakan bermula di
tanah besar China, yee sang versi Malaysia sangat berbeza dengan versi China
kuno daripada segi bahan, cara menghias dan cara memakannya.
Persamaannya dengan yee sang moden adalah
dari segi ikan mentahnya sahaja, manakala bahan-bahan lain dan cara menghias tidak
sama dengan yee sang versi China kuno.
Malah, cara memakannya dan melambung yee sang,
tidak dipraktikkan sama sekali pada masa China kuno.
Inti yee sang biasanya terdiri daripada
bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan sayur-sayuran seperti lobak
merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung, jus
limau, serbuk lima rempah dan keropok rangup.
Kesemua inti tersebut akan disusun secara
rapi di atas sebuah pinggan bulat. Sebelum proses menggaul yee sang dimulakan,
sos plum yang mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan
tindakan memerah jus limau pada ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan
kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu.
Selepas sos dituang, tibalah detik yang
dinanti-nantikan oleh semua iaitu proses menggaul yee sang, yang mempunyai cara
yang tersendiri kerana semua intinya akan digaulkan bersama secara agresif
menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di sekeliling meja bulat.
Yee sang boleh disediakan dalam pelbagai
bentuk tidak hanya terhad kepada sayur-sayuran dan ikan salmon mentah sahaja. Ada
yee sang versi vegetarian dan tidak kurang juga ada yee sang yang seakan-akan
rojak buah.
No comments:
Post a Comment