Monday 30 October 2023

BIJI BANGKONG HIDANGAN ISTIMEWA

 
Pokok bangkong adalah salah satu dari pokok hutan yang unik. Pokok, daun, hinggalah buahnya, sama seperti cempedak atau nangka. Sekiranya terjumpa dalam hutan buah bangkong, tentu ada mengatakan buah cempedak atau pun nangka.
 
Perbezaan bangkong dengan cempedak hanya pada isinya. Isi buah bangkong terlalu nipis atau lebih tepat dikatakan tidak ada isi. Jadi, tidak ada istilah makan isi buah bangkong. Biji bangkong ditutupi oleh selaput menggantikan isi.
 
Namun, buah bangkong tetap ada manfaatnya dan boleh dimakan. Bahagian boleh dimakan ialah bijinya. Kalau terjumpa buah bangkong yang telah busuk atau berulat sekalipun, bijinya masih boleh diambil untuk dimakan. Ulat tidak makan biji bangkong.
 
Buah bangkong jika diperam, iainya takkan masak macam cempedak. Ia akan buruk dan kemudian dimakan ulat.
 
Untuk mendapatkan biji bangkong ada cara yang unik. Ia dilakukan dengan cara memukul buahnya dengan kayu, dan bijinya akan terpelanting keluar.
Saiz bijinya pula ada yang sama seperti biji cempedak. Dan ada juga yang besar seperti biji durian.
 
Biji bangkong kemudiannya dicuci. Pastikan tidak ada getah melekat pada bijinya kerana dibimbangi memberi kesan racun. Biji bangkong direbus dengan meletakkan sedikit garam ke dalam air rebusan tersebut. Macam cara rebus biji cempedak dan nangka.
 
Setelah empuk, boleh dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan dicicah bersama kelapa dan gula melaka.
 
Buah bangkong memang sinonim dengan penduduk pedalaman terutama ketika musim tengkujuh jika bekalan makanan terputus. Memang sedap dihidangkan bersama kopi panas. Boleh sahaja ia dianggap seperti makan pisang goreng ketika waktu petang.
 
Biji bangkong juga boleh dibuat masak lemak. Ada juga yang dicampurkan bersama ikan untuk dijadikan asam pedas tempoyak.
 
Pada dahulu buah bangkong bukan sahaja digemari rakyat kebanyakan, bahkan di kalangan pembesar negeri.
 
Menurut sejarah, ada satu pelabuhan Penambang Bangkong di Juasseh, Negeri Sembilan. Nama “Penambang Bankong” diambil daripa nama pokok bangkong yang terdapat banyak di kawasan itu.
 
Penambang Bangkong pada ketika itu menjadi antara pelabuhan utama di Negeri Sembilan. Jadi, ia sering dikunjungi pemimpin negeri dan pedagang asing. Pada masa dahulu, terdapat laluan sungai yang boleh dilalui kapal dagang kecil menyambungkan Selat Melaka ke Laut China Selatan.
 
Tempat ini menarik banyak golongan raja, pembesar negeri serta pedagang asing antara lain kerana ingin menikmati biji buah bangkong.
 
Pada zaman Penghulu Naam menjadi penghulu pertama Luak Ulu Muar, beliau menghidangkan buah bangkong ini untuk santapan diraja termasuk kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Raja Melewar dan Raja Lenggang yang berkenan singgah di pelabuhan itu.
 
Pedagang serta pembesar dari China, India dan Timur Tengah turut dihidangkan dengan buah bangkong yang ketika itu begitu popular dan sinonim dengan Penambang Bangkong.
 
Penambang Bangkong terkenal kerana daerah ini adalah lokasi penting aktiviti perlombongan emas dan bijih timah selain pengeluaran sawah padi, rotan, damar, akar kayu serta daun sirih.
 
Namun, Penambang Bangkong sudah hilang dari peta, buah bangkong yang menjadi santapan tetamu diraja dan pedagang asing pada abad kelima, juga sudah pupus dari kawasan itu.
 
Laluan perdagangan berkenaan serta Penambang Bangkong hilang ditelan zaman, malah kini tinggalan pelabuhan itu tidak lagi kelihatan dengan pembinaan empangan dikenali sebagai Empang Bangkong pada 1969.

No comments:

Post a Comment