Tuesday 24 October 2023

LKTN MAJUKAN INDUSTRI KENAF MALAYSIA

 
Lembaga Tembakau Negara (LTN) ditubuhkan pada 8 Oktober 1973 sebagai sebuah Badan Berkanun Persekutuan mengikut Akta Lembaga Tembakau Negara (Perbadanan) 1973 [Akta 111]. Akta 111 bertujuan menubuhkan Lembaga Tembakau Negara untuk memperbaiki dan menjalankan dengan sepatutnya industri pengeluaran tembakau, dan bagi membuat peruntukan berkenaan dengan Lembaga dan industri itu.

Berikutan kesan persaingan perdagangan terhadap industri tembakau ekoran pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pada 2010 dan polisi Kerajaan yang menggalakkan pengurangan penggunaan tembakau serta pematuhan Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kerajaan telah mengenal pasti satu sumber pertumbuhan baru untuk dibangunkan yang berpotensi menjana pendapatan kepada penanam iaitu tanaman kenaf.

Sehubungan itu, Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 [Akta 692] telah dikuatkuasakan pada 1 April 2010 bertujuan mengadakan peruntukan yang lebih baik bagi industri kenaf dan industri tembakau.
 
Pelaksanaan Akta 692 telah memansuhkan Akta Lembaga Tembakau Negara (Perbadanan) 1973 [Akta 111] serentak dengan pembubaran LTN yang digantikan dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).
 
Akta 692 bertujuan mengadakan peruntukan yang lebih baik bagi industri kenaf dan tembakau, membubarkan Lembaga Tembakau Negara dan mengadakan peraturan bagi perkara-perkara yang bersampingan dan berkaitan dengannya.
 
Hasil penubuhan LKTN, pengeluaran kenaf negara semakin meningkat. Perkembangan penanaman kenaf memang menggalakkan. Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam. 
 
Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman berkenaan.
 
Setakat ini, penanaman kenaf di negara ini adalah sebanyak 2,000 hektar yang membabitkan tanaman secara kecil-kecilan oleh petani termasuk di Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak dengan pengeluaran hasil kira-kira 10,000 tan setahun untuk diproses dan dijadikan pelbagai produk.
 
Kenaf mengandungi 30 peratus serat pada bahagian kulit luar dan 70 peratus empulur daripada bahagian dalam batang. Ketinggian pokok mencapai 2 meter hingga 5 meter. Bagi pengeluaran serat penuaian adalah antara 75 hingga 120 hari selepas penanaman. Penuaian bagi pengeluaran benih adalah 150 hari selepas penanaman.
 
Serat yang dituai daripada kenaf mempunyai kegunaan dalam penghasilan produk mesra alam seperti produk biokomposit dan pelbagai perkakas rumah termasuk perabot dan bingkai gambar.
 
Selain daripada itu, batang kenaf sesuai untuk dijadikan bahan asas penghasilan kertas berkualiti tinggi, di samping mempunyai potensi dalam nilai bioperubatan yang wajar diterokai dengan lebih lanjut.



No comments:

Post a Comment