Tuesday 30 April 2024

KUPANG DITERNAK UNTUK PENUHI PERMINTAAN

 
Kupang atau juga dikenali siput sudu merupakan sejenis famili kerang-kerangan dwicangkerang yang boleh dimakan. Kupang boleh dijumpai di kawasan air tawar seperti tasik dan sungai. Kupang juga ditemui di kawasan pasang surut di pinggir laut.
 
Kupang merupakan sejenis siput (mollusk) yang mempunyai bentuk bulat dan bujur tirus di bahagian hujung kulitnya. Kulit kupang yang keras akan melindungi isi dari cacat atau dimakan oleh ikan dewasa.
 
Kulit kupang berwarna hijau gelap (hijau lumut) dan berjalur hijau muda di bahagian tepinya. Kupang mempunyai isi lembut dan berwarna oren kekuningan dan berasa liat ketika mentah.
 
Kupang sesuai dimasak lemak bersama serai, digoreng sambal tumis, masak merah, dibakar dan sebagainya.  
 
Selain diperoleh secara semula jadi, kupang juga boleh diternak. Penternakan kupang merupakan satu aktiviti akuakultur yang menarik minat beberapa nelayan di Malaysia terutama di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
 
Terdapat 3 jenis varieti kupang yang biasa diternak iaitu Pteriomorpha spp untuk ternakan air laut, Palaeoheterodonta spp untuk ternakan air tawar dan Heterodonta spp sejenis Kupang Zebra.
 
Penternakan kupang ini adalah suatu perkembangan yang amat positif atas dua perkara yang penting. Selain ia dapat menyuntik sumber pendapatan sampingan, para nelayan tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada aktiviti penangkapan ikan di laut semata-mata, sekaligus ini dapat mengurangkan tekanan serta eksploitasi sumber perikanan secara berlebihan.
 
Kupang merupakan siput planton feeders iaitu (pemakan plankton) sama seperti kerang, remis, siput sedut dan pelbagai haiwan akuakultur bercengkerang lain. 
 
Penternakan kupang ini memerlukan kawasan perairan yang tidak mempunyai arus yang deras, tiada laluan kapal besar dan memerlukan air laut yang bersih dari pencemaran sampah dan tidak tercemar dengan tumpahan minyak.
 
Keadaan itu bagi memastikan tidak menganggu tumbesaran benih kupang yang akhirnya akan menjejaskan saiz kupang yang ingin dituai.
 
Penternakan kupang tidak memerlukan pemerhatian yang khusus dan rapi namun ia  memerlukan kos yang tinggi untuk membeli tong plastik dan tali rawai. Selain itu, kaedah menggunakan pasakan pancang-pancang kayu atau paip PVC di tepi pantai, yang mana ia diikat bersama tayar motor lama lalu dibalut penuh dengan jaring / pukat terbuang juga diamalkan penternak. .
 
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pertanian merupakan agensi yang bertanggung jawab untuk mengawal, mengurus dan mengeluarkan lesen kepada persatuan nelayan atau pengusaha yang berminat untuk menternak kupang.
 
Permintaan yang tinggi terhadap kupang ini datang dari pengusaha makanan laut. Ini kerana rasa kupang yang enak serta bau aroma yang membangkitkan selera pengemar makanan laut.
 
Juadah kupang bakar atau kupang tumis berlada menjadi pilihan pengemar. Ini adalah kerana setelah kupang dimasak, isi kupang berasa lebih manis, mempunyai isi lembut dan sesuai dinikmati bersama nasi panas.
 
Kupang mengambil masa enam bulan untuk matang sebelum sesuai dijadikan hidangan atau menghasilkan barangan seperti keropok kupang dan kupang kering. Penternakan kupang tidak lagi memerlukan penjagaan terlalu rapi seperti ternakan lain yang perlu diberi makan mengikut waktu tertentu. 
 
Walaupun tahap matang kupang enam bulan dan anak benih kupang berusia seawal dua bulan juga boleh diambil untuk dimakan. Saiz yang lebih kecil itu lebih sesuai untuk ianya dibuat hidangan sup atau tomyam. 
 
Kupang perlu dibersihkan bagi membuang selut dan teritip pada kulitnya sebelum dijual. 
 




No comments:

Post a Comment