Tuesday 4 July 2023

KONFLIK GAJAH DENGAN MANUSIA

 
Gajah merupakan mamalia darat yang terbesar dan boleh dijumpai di Afrika dan Asia. Gajah Asia boleh membesar sehingga ketinggian 2.5 hingga 3 m pada paras baru dan mencecah berat sehingga 5,000 kg. Berbanding gajah Afrika, hanya gajah jantan sahaja bergading. Walau bagaimanapun terdapat juga gajah jantan yang tidak bergading dan dikenali sebagai makhna.
 
Gajah mempunyai kulit yang kasar setebal 4 sm tetapi sangat sensitif. Gajah sering mandi debu untuk mengelakkan penyakit kulit dan jangkitan parasit.
 
Gajah juga sering menyembur badannya dengan air atau berendam dalam air bagi menyejukkan badannya. Kipasan teliga gajah yang lebar juga berfungsi sebagai sistem penyejukan ketika cuaca panas.
 
Gajah boleh ditemui di hutan pamah dan hutan bukit dipterokarp. Makanannya terdiri daripada buah-buhan, daun, pucuk, kulit pokok dan akar daripada pelbagai jenis tumbuhan.
 
Pada awal kurun ke-20, terdapat lebih daripada 100,000 ekor Gajah Asia. Anggaran tepat saiz populasi gajah sukar diperoleh. Secara kasarnya dianggarkan terdapat di antara 30,000 hingga 50,000 ekor Gajah Asia di seluruh dunia.
 
Dibandingkan dengan gajah Afrika, populasinya adalah 10 kali ganda kurang. Gajah Asia hidup dalam kumpulan antara 3 hingga 40 ekor dan diketuai oleh seekor gajah betina yang paling tua. Gajah betina melahirkan seekor anak, kadangkala dua, selepas bunting selama 21 bulan.
 
Apa yang unik dalam sistem sosial gajah ialah lakuan yang dipanggil “allo-mothering”, di mana semua gajah betina akan bersama-sama menjaga anak gajah walaupun bukan anaknya.
 
Gajah jantan akan meninggalkan kumpulan apabila mula matang dan mengikuti kumpulan gajah jantan lain atau menunggal. Gajah jantan matang hanya akan mencari gajah betina apabila tiba masa untuk mengawan.
 
Di Semenanjung Malaysia, gajah diperlindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76, 1972, di mana adalah menjadi kesalahan untuk menembak, membunuh, memiliki atau memiliki sebahagian daripada anggota gajah.
 
Jika didapati bersalah denda maksimum ialah RM3,000, dan/atau 3 tahun penjara. Jika ianya gajah betina, denda maksimum ialah RM6,000, dan/atau 3 tahun 6 bulan penjara.
 
Bagi gajah yang tidak matang denda maksimum ialah RM3,500 dan/atau 2 tahun penjara. Sesiapa yang mencederakan, menzalimi, membiarkannya kelaparan atau mengurung gajah dalam kandang yang tidak sesuai untuk kesihatannya boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM5,000, dan/atau 3 tahun penjara.
 
Barang siapa mendatangkan kemarahan atau kecederaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa manusia akan didenda sehingga RM5,000 dan/atau tiga tahun penjara.
 
Dianggarkan Semenanjung Malaysia masih mempunyai populasi gajah sebanyak 1,220 hingga 1,460 ekor. Ini adalah berdasrkan data yang dikumpulkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menerusi program inventori dan juga aktiviti pemantauan bermula 2000 hingga 2002.
 
Taman Negara mempunyai populasi gajah terbesar di Semenanjung Malaysia dengan anggaran 290 – 350 ekor gajah. Ini disebabkan Taman Negara merupakan kawasan perlindungan terbesar dan menjadi kawasan pelepasan utama gajah-gajah yang dipindahkan daripada kawasan-kawasan bermasalah sejak tahun 1983.
 
Jabatan PERHILITAN telah menjalankan pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada pemuliharaan gajah. Di antaranya ialah menguruskan 40 kawasan perlindungan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan keluasan 7,514 km persegi.
 
Taman Negara ialah kawasan perlindungan yang terbesar, iaitu 4,343 km persegi yang merangkumi negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 1974, Jabatan PERHILITAN telah menubuhkan Unit Tangkapan Gajah yang bertanggungjawab menangkap dan memindahkan gajah-gajah yang berada dalam situasi konflik ke habitat yang lebih selamat seperti di Taman Negara, hutan-hutan simpan dan Taman Negeri.
 
Gajah yang berjaya ditangkap di negeri Pahang, Terengganu, Perak, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor dipindahkan sama ada ke Taman Negara (Pahang, Kelantan, Trengganu), Taman Negeri Di-Raja Belum, Perak atau Taman Negara Endau Rompin, Johor.
 
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pusat Konservasi Kepelbagaian Biologi di negeri-negeri dan Zoo Melaka juga menjalankan program pendidikan konservasi dan program-program kesedaran awam termasuklah mengenai gajah.
 
Ancaman-ancaman utama kehilangan dan fragmentasi habitat adalah ancaman utama terhadap populasi gajah di Semenanjung Malaysia. Sehingga 1980-an banyak kawasan hutan pamah, iaitu habitat utama gajah, telah dibuka dan ditanam dengan kelapa sawit dan getah.
 
Malah banyak lagi kawasan hutan telah dibuka untuk membina lebuh raya dan kawasan empangan. Daripada hanya 540 km persegi pada 1960, ladang kelapa sawit telah mencapai keluasan melebihi 16,000 km persegi pada 1987.
 
Pelbagai agensi pertanian kerajaan, seperti Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Pembangunan Industri Pekebun Kecil Getah (RISDA) dan Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) telah membuka dan membangunkan tanah dengan tujuan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat pada masa itu.
 
Namun kadar pembukaan hutan telah berkurangan di akhir 1990-an. Walau bagaimanapun, pembukaan hutan secara kecil-kecilan masih berterusan yang menghasilkan fragmentasi hutan.
 
Aktiviti pembalakan juga turut menyumbang kepada penurunan populasi gajah di Semenanjung Malaysia.
 
Habitat yang semakin mengecil telah memaksa gajah-gajah keluar mencari makanan di luar daripada habitatnya. Keadaan ini banyak menimbulkan konflik antara gajah dan manusia. Ia juga akan berkeliaran di dalam hutan berhampiran dengan ladang-ladang, yang kebiasaanya ditanam dengan kelapa sawit dan pisang, dan menyediakan sumber makanan yang mudah bagi gajah-gajah tersebut.
 
Gangguan gajah ke atas tanah pertanian telah menyebabkan kerugian yang besar kepada pemilik-pemilik ladang. Pada masa dahulu, renjer Jabatan PERHILITAN akan menembak mati gajah-gajah konflik ini. Namun begitu, kini gajah-gajah yang terlibat akan ditangkap dan dipindahkan.
 
Pemilik-pemilik tanah juga menjalankan pelbagai kaedah pencegahan seperti menggali parit, membina menara pandang, rondaan menggunakan traktor, memasang lampu, menghalau gajah dengan senapang patah atau meriam buluh, membuat unggun api atau membakar tayar di kawasan laluan gajah. Namun kesemua langkah-langkah ini kurang berjaya. Penggunaan pagar letrik adalah kaedah yang paling efektif, namun agak mahal untuk dibina dan menyelenggaranya.

No comments:

Post a Comment