Sunday 16 July 2023

APABILA USTAZ MENJADI KAKI FITNAH

 
Ustaz satu gelaran mulia dan tinggi diberikan kepada mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan berpekerti mulia. Sesiapa digelar atau dipanggil ustaz adalah dipandang mulia dan dijadikan contoh.
 
Malangnya, terdapat sesetengah yang menggunakan gelaran ustaz tidak menjaga imej dan nama baik golongan ustaz. Mereka ini sebaliknya menggunakan gelaran ustaz untuk meraih keuntungan di dunia apabila dipandang mulia sehingga mereka menyalahgunakan kedudukan untuk berbuat mungkar yang dianggap bahawa perbuatan itu adalah benar.
 
Contohnya, dalam politik sekarang ini banyak ahli politik yang menggunakan gelaran ustaz. Dengan gelaran itu kedudukan mereka lebih dihormati dan dipercayai. Ahli dan pengundi mudah “cair” dengan kata-kata ustaz.
 
Tetapi malangnya ada ustaz politik bertindak mengikut nafsu politik dan mengenepikan nilai-nilai Islam yang syumul.
 
Antara perbuatan ustaz politik ialah membuat fitnah dalam meraih laba politik. Mereka bercakap dengan penuh yakin untuk menyebarkan sesuatu yang berbentuk fitnah untuk menjatuhkan lawan politik. 

Banyak ahli politik bergelar ustaz yang didapati bersalah di mahkamah disebabkan mengeluarkan kata-kata atau tulisan berbentuk fitnah kepada lawan politik. Banyak juga yang memohon maaf secara terbuka di atas keterlanjuran untuk mengelak perkara itu dibawa ke mahkamah. 
 
Perbuatan ustaz politik itu bukan sahaja membuat dosa secara peribadi, tetapi juga mencemarkan nama Islam itu sendiri dan keseluruhan ustaz yang lain. Memalukan golongan ustaz. Eloknya, kalau sudah sertai politik, tidak perlulah guna gelaran ustaz lagi.
 
Sabda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang suatu zaman di mana agama Islam hanya tinggal namanya sahaja, dan al-Quran pula hanya tinggal huruf dan tulisannya. Masjid-masjidnya cantik dan megah, tetapi sunyi daripada petunjuk. Ulama mereka adalah manusia yang paling jahat di antara yang ada di bawah langit. Daripada para ulama ini muncul bermacam-macam fitnah dan (fitnah itu) kembali ke dalam lingkungan mereka.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Gambar sekadar hiasan - Bukit Larut

No comments:

Post a Comment