Wednesday 10 May 2023

PERTABALAN RAJA CHARLES III

 
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama mencemar duli menghadiri Istiadat Pertabalan Diraja United Kingdom (UK) yang berlangsung di Wesminster Abbey, pada 6 Mei 2023.
 
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara Malaysia yang pertama berangkat menghadiri ke Istiadat Pertabalan Baginda Raja United Kingdom (UK).
 
Kali terakhir istiadat yang sama diadakan adalah 70 tahun lalu, ketika Ratu Elizabeth II ditabal menjadi ketua negara UK pada 2 Jun 1953.
 
Ketika itu, Tanah Melayu (kini Malaysia) masih belum merdeka dan Institusi Yang di-Pertuan Agong belum lagi wujud.
 
Mengikut rekod sejarah ketika istiadat pertabalan Ratu Elizabeth II, Sultan Kelantan, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Sultan Perak berkenan berangkat mewakili Tanah Melayu, yang ketika itu masih lagi tertakluk di bawah pentadbiran British sebagai negara koloni, ke istiadat pertabalan berkenaan.
 
Baginda dan Raja Charles III menjalin persahabatan sejak lebih empat dekad lalu, bermula dengan sukan polo di London dan dalam pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa.
 
Al-Sultan Abdullah, memakai pakaian istiadat No 1 tentera, manakala Tunku Azizah mengenakan persalinan baju kurung moden berwarna kuning direka khas oleh baginda sendiri untuk istiadat pertabalan baginda berdua pada 2019.
 
Upacara gemilang penuh istiadat tradisi diraja UK itu turut menyaksikan pertabalan Permaisuri Camilla, bermula pada jam 11 pagi waktu UK (6 petang waktu Malaysia).
 
Malaysia turut menyertai perarakan pertabalan besar-besaran, hari ini, yang menyaksikan pembabitan kira-kira 6,000 anggota tentera UK, termasuk 400 anggota tentera dari 38 negara Komanwel.
 
Sejumlah 12 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD, diberi penghormatan menyertai perbarisan dan perarakan diraja, dengan mempamerkan keterampilan dan mutu kawad terbaik.

No comments:

Post a Comment