Raja Loyor pemerintah di Kota Jembal. Pada masa sama
terdapat kerajaan dikenali Chinta Wangsa yang diperintah Cik Siti Wan
Kembang.
Raja Loyor ada anak dikenali Puteri Saadong. Memandangkan
Cik Siti Wan Kembang tidak mempunyai anak, maka baginda mengambil Puteri
Saadong sebagai anak angkat. Puteri Saadong terkenal cantik dan bijak.
Puteri Saadong dikahwinkan dengan Raja Abdullah ketika usia
15 tahun. Tindakan itu dilakukan tergesa-gesa untuk menghalang hasrat Raja Siam
memperisterikan Puteri Saadong. Raja Abdullah dan Puteri Saadong diberikan satu
kerajaan dikenali Kota Jelasin (ada juga mengatakan Kota Mahligai).
Raja Siam berasa terhina dengan penolakan itu, lalu
menyerang Kota Jelasin untuk menawan Puteri Saadong. Banyak rakyat terkorban
biarpun serangan pertama gagal.
Raja Siam tidak berpuas hati lalu menyiapkan angkatan
tertera lebih besar untuk menyerang Kota Jelasin.
Untuk mengelak pertempuran lebih besar, Puteri Saadong
bersedia menyerah diri dengan syarat serangan dihentikan. Sebelum dibawakan ke
Siam, Puteri Saadong meminta Raja Abdullah agar setia menanti kepulangannya.
Ketiba Puteri Saadong di Siam telah diraikan dengan penuh
meriah. Bagaimanapun, sebaik Puteri Saadong tiba di istana, Raja Siam jatuh
gering.
Sakit kudis di dada dialami Raja Siam amat serius biarpun nampak kecil.
Sakitnya bertambah jika menghampiri Puteri Saadong.
Atas nasihat ketua sami, Raja Siam bertanyakan Puteri
Saadong adakah penyakitnya angkara Puteri Saadong.
Dengan berhemah, Puteri Saadong menjawab bahawa pada firaatnya, musibah itu angkara
perbuatan Raja Siam sendiri.
Puteri Saadong berjanji akan merawat Raja Siam dengan syarat
setelah sembuh nanti, baginda akan dihantar pulang ke Jelasin. Raja Siam yang
tiada pilihan terpaksa menerima syarat tersebut.
Penyakit Raja Siam telah sembuh. Lalu, atas menunaikan
janjinya, Puteri Saadong telah dihantar pulang menaiki bahtera dengan diiringi
dayang-dayang dan hadiah.
Takkala Puteri Saadong tiba di Jelasin didapati Raja
Abdullah telah mungkir janji berkahwin dengan wanita lain.
Tindakan Raja Abdullah itu dipercayai kerana tidak yakin bahawa Puteri Saadong
akan kembali setelah berada di bawah penguasaan Raja Siam yang cukup kuat.
Pertengkaran suami isteri telah berlaku sehingga menyebabkan
kemangkatan Raja Abdullah.
Terdapat beberapa pendapat berkaitan kematian suami Puteri
Saadong itu.
Ada pendapat mengatakan ada konspirasi dilakukan pihak tertentu agar tercetus
ketegangan di antara suami isteri itu yang menyebabkan Puteri Saadong menikam
Raja Abdullah. Kematian itu dirancang supaya takhta raja tersebut dapat
dirampas.
Pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya. Puteri Saadong disifatkan
mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin sanggup membunuh
suaminya.
Jadi, kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan
Puteri Saadong.
Pendapat lain pula mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja
Abdullah dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong membawa diri ke Bukit Marak
bersama dayang-dayangnya termasuk seorang pengawal yang dikenali Awang Selamat.
Raja Abdul Rahim (adik Raja Abdullah) ditabalkan sebagai sultan di Jelasin (dengan
gelaran Sultan Abdul Rahim) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat
keputusan turun takhta.
Namun, sepanjang pemerintahan Sultan Abdul Rahim, pelbagai bentuk kezaliman
berlaku menyebabkan rakyat terpaksa mengadu dan merayu Puteri Saadong di Bukit
Marak supaya campur tangan dalam usaha mengembalikan semula keamanan di
Jelasin.
Kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman akhirnya mengakibatkan Sultan Abdul
Rahim terbunuh di tepi Tasik Lelayang. Pendapat lain pula mengatakan Sultan
Abdul Rahim mati dibunuh atas arahan sepupunya, Raja Kechil Sulong.
Dengan kemangkatan Sultan Abdul Rahim, maka berakhirnya kerajaan yang berpusat
di Jelasin atau Kota Mahligai.
Baca juga;

No comments:
Post a Comment