Ubur-ubur (biasa dieja obor-obor) adalah sejenis binatang
laut yang badannya seperti agar-agar dan berjurai-jurai (berjumbai-jumbai
tepinya). Nama lain ubur-ubur ialah ampai-ampai kerana kehidupannya yang terampai
atau terapung di dalam dan permukaan air.
Ubur-ubur banyak jenis. Setiap jenis mempunyai bentuk badan
yang berbeza-beza dan satu lagi yang diberi perhatian ialah kadar racun atau
bisa yang dihasilkan oleh setiap jenis.
Soal kadar bisa perlu diberi perhatian kerana banyak kes
mangsa terkena sengatan ubur-ubur banyak berlaku di perairan Malaysia. Bahkan
ada kes sangatan ubur-ubur yang menyebabkan kematian.
Antara jenis ubur-ubur yang terkenal mempunyai kadar bisa
yang tinggi ialah ubur-ubur kotak (kelas Cubozoa, "cubo" bermaksud
kotak," zoon" bermaksud haiwan). Ubur-ubur kota terkenal
dengan tahap bisa yang terkuat.
Sengatan spesies ini amat menyakitkan dan kadangkala membawa
maut kepada manusia. Sistem badan ubur-ubur kotak adalah lebih kompleks sedikit
daripada ubur-ubur lain.
Ubur-ubur kotak boleh bergerak lebih cepat daripada
ubur-ubur lain. Walaupun beberapa ubur-ubur lain masih ringkas, ubur-ubur kotak
mempunyai mata yang lengkap dengan retina, kornea dan kanta.
Ubur-ubur kotak juga mampu melakukan tingkah laku yang
kompleks, mungkin berpandukan visual seperti mengelak halangan dan berenang
pantas.
Spesies ubur-ubur kotak boleh ditemui secara meluas di
lautan tropika dan subtropika, termasuk di perairan Malaysia.
Untuk rekod, ubur-ubur kotak adalah salah satu haiwan laut
berbisa yang boleh menyebabkan bahaya serius kepada manusia kerana mempunyai
racun yang kuat boleh membahayakan kulit manusia.
Menurut Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA)
Amerika Syarikat (AS), gigitan haiwan yang dikenali sebagai box jelly fish (ubur-ubur
kotak) kerana bentuk badannya berkotak itu boleh menyebabkan individu menjadi
lumpuh, mengalami serangan jantung dan bahkan kematian beberapa minit selepas
disengat.

No comments:
Post a Comment