Pokok tenggek burung (Euodia redleyi) merupakan sejenis
tumbuhan dari keluarga Rutaceae iaitu merupakan tumbuhan renek yang tumbuh
secara liar di Malaysia. Tumbuhan ini telah diberikan nama "tenggek burung"
kerana dipercayai burung bersaiz kecil suka hinggap di atas pokok ini untuk
menyedut nektar daripada bunganya dan membuat sarang untuk bertelur.
Pokok tenggek burung boleh dijadikan ulam yang mempunyai
banyak khasiat. Bahagian pucuk tumbuhan ini rasa masam, kelat dan pahit sedikit
dan biasanya amat enak dimakan dengan sambal belacan bersama nasi putih.
Pokok ini mudah dikenali berbanding tumbuhan lain di sekitarnya
dengan melihat warna dan bentuk daun serta bunganya. Ia mudah tumbuh di kawasan
tepi parit dan tanah lembah.
Pokok tenggek burung mempunyai banyak dahan dan ranting.
Batangnya berwarna hijau ketika muda dan lembut, dan bertukar menjadi coklat
keperangan apabila menjadi kayu keras dan tua.
Pokok ini mampu mencapai ketinggiaan 2-3 meter jika
dibiarkan dan lebih tinggi lagi di kawasan hutan. Daun tuanya berwarna hijau
pekat serta tebal dengan permukaan yang agak berkilat dan berlilin.
Bunganya berwarna putih dalam beberapa jambak dan
digemari burung untuk menyedut nektarnya serta ada biji apabila matang.
Justeru, pokok ini sesuai ditanam di kawasan penternakan kelulut (Trigona
itama) kerana ia mampu menghasilkan bunga yang mengeluarkan nektar
yang sangat disukai oleh kelulut.
Pokok ini lazimnya akan berbunga sepanjang tahun di mana
kelulut akan hadir mengunjungi tenggek burung dari pagi sehingga ke petang.
Bahagian akarnya pula dipercayai mempunyai sistem akar tunjang yang panjang.
Tumbuhan ini tahan dengan keadaan cuaca panas dan selalunya sukar mati di kawasan
semula jadi.
Pembiakan pokok ini boleh dibuat secara keratan batang atau
cabut anak benih dari kawasan sedia ada. Anak benih boleh dialihkan ke dalam
pasu atau polibeg besar atau di atas batas jika hendak ditanam di kawasan
rumah.
Pokok tenggek burung yang membesar perlu dipangkas jika
ingin ia bercabang dan menghasilkan banyak pucuk. Bagi meningkatkan banyak
pucuk muda dan daun banyakkan menggunakan baja organik atau sebaiknya tahi ayam
proses. Pokok ini tidak mempunyai banyak perosak dan penyakit.
Kajian para pegamal perubatan tradisional mendapati pucuk
tenggek burung boleh digunakan untuk perubatan atau dianggap tanaman ulam untuk
kesihatan. Selain itu juga khasiatnya ialah dapat meningkatkan organ seks bagi
lelaki serta juga memperbaiki pengedaran darah.
No comments:
Post a Comment