Thursday 9 November 2023

BERHATI-HATI KETIKA KETAWA

 
Islam membenarkan nergelak tertawa. Ia sesuai dengan fitrah manusia yang di dalam dirinya ada sifat semula jadi akan ketawa apabila ada sesuatu yang lucu atau mengembirakan.

Pun begitu, kita ditegah ketawa keterlaluan sehingga tidak terkawal tindakan yang dilakukan. Ketawa itu baik sebagai terapi minda, tetapi jika keterlaluan boleh menyebabkan penyakit jiwa yang ketawa tidak pada perkara sepatutnya.

Memandangkan dibenarkan ketawa, maka perbuatan membuatkan orang ketawa juga dibenarkan. Pun begitu, perbuatan untuk membuatkan orang lain ketawa itu hendak sesuatu perbuatan yang bukan berbentuk dosa, menghina seseorang, menakutkan atau merugikan.

Dalam satu riwayat menceritakan bahawa Imam Abu Hanifah pernah tertawa satu kali apabila dia menang berdebat dengan Amr bin Abaid Alqadari (seorang bermazhab Qadariah yang tidak percaya kepada takdir Allah).

Selepas tertawa, Imam Abu Hanifah sangat menyesal lalu berkata: "Engkau berbicara tentang ilmu aku tertawa, maka aku tidak akan berkata-kata kepadamu untuk selama- lamanya, maka aku sangat menyesal, sebab andainya aku tidak tertawa nescaya aku dapat menundukkannya dengan kefahamanku, sehingga menjadi kebaikan bagi ilmu." (Riwayat Abullaits As-samarqandi).

Menurut riwayat daripada Ibrahim Annakhari, katanya, "Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah SWT murka padanya lalu murka Allah SWT itu merata kepada orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang berkata kalimah yang diredai oleh Allah SWT, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah SWT itu diperoleh juga oleh orang di sekitarnya."

Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang lain tertawa. Contohnya, berlawak jenaka dengan mengeluarkan kalimah menghina atau menampakkan keburukan seseorang yang menyebabkan orang lain tertawa.

Menipu merupakan satu perkara yang ditegah dalam Islam. Menipu untuk mendapatkan perhatian manusia dan untuk menghiburkan manusia lain adalah perkara yang dilarang dalam Islam.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Celakalah orang yang berbicara kemudian berbohong agar orang lain mentertawakannya, celakalah dia, celakalah dia.” (Hadis riwayat Ahmad).

Sesiapa yang meninggalkan bergelak tertawa keterlaluan akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Menurut Yahya bin Muaadz ar-Razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seseorang mukmin:
- Kerana memikirkan akhirat
- Kesibukan mencari keperluan hidup
- Risau memikirkan dosa
- Apabila tibanya musibah dan bala.

No comments:

Post a Comment