Sunday 20 October 2019

PEMIMPIN BERKARISMA TIDAK TUNDUK TEKANAN MUSUH


Iltizam dan komitmen untuk menuju ke arah kebaikan adalah satu bentuk hijrah yang dituntut agama. Sedangkan berhijrah ke arah kebaikan itu pula termasuk dalam kategori berjihad. Dengan kata lain, usaha melakukan kebaikan memberikan peluang pahala yang besar tidak wajar dilepaskan begitu sahaja.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman dan mereka yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Baqarah, ayat 218).

Pengembelingan seluruh kekuatan yang dimiliki umat Islam di seluruh dunia adalah formula sebenar kebangkitan Islam. Sekiranya seluruh umat Islam bersatu dalam satu matlamat yang sama, nasib umat Islam akan berubah menjadi lebih baik dan seterusnya menjadi agama contoh.   

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah perpaduan di kalangan sesama umat Islam. Satu keadaan amat malang apabila akibat berlainan fahaman politik menyebabkan perbalahan dan pertentangan sesama Islam. Sepatutnya politik hanya dijadikan alat atau cara untuk mendapatkan kuasa pemerintahan sepertimana kehendak demokrasi, bukannya menjadi punca pepecahan. 

Pada hakikatnya, tatacara politik Islam menolak sebarang bentuk perpecahan dan keadaan yang merugikan umat Islam. Biarpun situasi politik di negara kita masih terkawal, namun bibit-bibit ke arah perkara buruk sudah kelihatan. Kita tidak mahu apa yang berlaku di negara luar merebak dalam negara.

Di sesetengah negara Islam terdapat umat Islam berperang sesama sendiri kerana berlainan politik. Masing-masing pihak mengaku mereka sedang berjihad dan menghalalkan darah sesama Islam.  

Umat Islam perlu bersatu dan mengetepikan segala perbezaan pendapat dan fahaman. Allah SWT menegah dan benci kepada mereka berpecah belah.  

Firman Allah bermaksud: “Dan berpeganlah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai." (Surah Ali Imran, ayat 103).

Melalui asas perpaduanlah terbina masyarakat yang kuat ekonomi, tinggi akhlak, bijak menguasai ilmu terkini, hidup penuh harmoni dan terhindar daripada budaya tidak baik. 

Barat mudah mempengaruhi pemimpin di negara Islam yang lemah kedudukan politiknya, tetapi mempunyai sumber ekonomi yang kuat. Barat mengaut keuntungan dengan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin negara Islam yang tunduk kepada kehendaknya.

Campurtangan kuasa asing dalam negara Islam mengundang malapetaka. Sayangi dan pertahankan negara daripada ansir jahat. Malaysia perlu ditadbir oleh pemimpin Islam yang mempunyai karisma, kebijaksanaan dan tidak tunduk kepada pengaruh kuasa asing. 

No comments:

Post a Comment