Friday 25 October 2019

ISTANA JAHAR MUZIUM ADAT ISTIADAT DIRAJA KELANTAN

Salah satu lokasi menarik di Kota Bharu ialah Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan. Muzium ini telah ditubuhkan pada tahun 1992 bertempat di Istana Jahar, Kota Bharu. Muzium ini terletak berhampiran Masjid Muhammadi dan Istana Balai Besar.

Istana Jahar dahulunya merupakan istana tempat bersemayan Almarhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV (1920 – 1944).

Upacara perasmian Muzium Adat Istiadat telah disempurnakan oleh Sultan Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra pada 27 Julai 1992.

Istana Jahar kini merupakan bangunan yang menjadi hak milik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah Negeri Kelantan pada 2005 (AKTA- 645).

Di Muzium Adat Istiadat dipamerkan berbagai jenis Adat Istiadat Diraja Kelantan sejak zaman berzaman. Selain daripada itu, turut dipamerkan juga jenis-jenis tekstil, alat perhiasan diri, pakaian dan barang-barang tembaga untuk tontonan umum generasi kini dan akan datang. 

Bangunan ini sendiri telah melambangkan senireka bangunan dan hiasan istana kesultanan Kelantan yang terkenal.

Pada bahagian belakang bangunan istana ini terletak Balai Senjata yang mempamerkan alat-alat senjata lama Negeri Kelantan seperti keris, lembing, badik, kelewang dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment