Wednesday 30 October 2019

TAMAN NEGARA TANJUNG PIAI

Taman Negara Tanjung Piai terletak dalam mukim Kukup, Pontian, Johor. Keseluruhan kawasan Taman Negara Tanjung Piai meliputi 526 hektar kawasan bakau dan 400 hektar kawasan tanah lembut dan berlumpur.

Di Taman Negara Tanjung Piai terdapat kekayaan khazanah alam semula jadi iaitu hutan, hutan paya bakau serta pelbagai spesies flora dan fauna.

Di sini dikatakan terdapat lima spesies burung air dan tujuh spesies burung pantai.

Taman ini juga menjadi tempat kediaman hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam.

Terdapat hampir 30 spesis tumbuhan bakau di sini. Pokok bakau melindungi pesisiran pantai daripada hakisan dan menghindari banjir, di samping memberikan perlindungan dan pembiakan ikan, ketam, udang, pelbagai jenis molaska dan binatang-binatang lain.

Burung-burung hijrah akan singgah di hutan bakau untuk berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang semula ke kawasan yang ditujui.

Sebelum diisytiharkan sebagai Taman Negara, Tanjung Piai adalah sebahagian daripada Hutan Simpan Bakau Sungai Pulai di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan.

Tanjung Piai telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Johor sebagai Taman Negara Johor pada tahun 1997.

Kajiselidik ekologi telah dijalankan oleh Wetlands International-Malaysia pada tahun 2001. Pada tahun 2002, taman ini telah dibuka kepada orang ramai dan digazetkan sebagai Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004.

Antaranya aktiviti pelawat yang datang ke sini adalah berkhemah, memancing, melihat kunang-kunang dan melihat pemandangan serta keindahan Selat Teberau.

Pelancong boleh mendapatkan maklumat tentang hutan bakau dan maklumat lain yang dipamerkan dalam kawasan taman. Setiap maklumat disertakan gambar yang berkaitan supaya senang difahami.

Setelah masuk ke kawasan taman, terdapat laluan khas berupa jambatan kayu yang dibina merentasi hutan paya bakau ke beberapa destinasi.

Terdapat laluan untuk ke pelantar yang sering menjadi tumpuan kaki pancing. Pelantar ini juga menjadi tempat pelancong menikmati keindahan Selat Melaka.

Dari kejauhan kelihatan kapal-kapal yang melalui selat ini. Sewaktu cuaca cerah, Pulau Kerimon, Indonesia juga dapat dilihat dari pelantar ini.

Terdapat laluan untuk pelawat menuju ke destinasi yang mesti dikunjungi, iaitu pelantar yang dibina menganjur ke laut Selat Melaka.

Di pelantar ini dibina sebuah mercu tanda berbentuk bumi bagi menggambarkan bahawa di sinilah titik paling hujung di Benua Asia.

Dari sini, kita dapat lihat bangunan pencakar langit di Singapura yang dipisahkan oleh Selat Johor.

Secara tepatnya Tanjung Piai terletak pada latitud 01.16 `Utara dan longitud 103.30.46 ` Timur. 

Sebuah mercu tanda telah dibina di sini bagi menandakan 'Tanah Terselatan Benua Asia'  yang dibina pada 2001.




Gambar: Dari media maya.

No comments:

Post a Comment