Saturday 18 June 2022

DEFINISI HADIS YANG PERLU DIFAHAMI

 
Dari segi bahasa, hadis berasal daripada perkataan Arab iaitu daripada kata dasar ‘hadatha’  dan ‘haddatha’. Manakala makna hadis pula terbahagi tiga.  

Pertama ialah baharu yang merupakan lawan kepada yang lama. Manakala yang kedua ialah dialog, perbualan, percakapan atau kisah. Makna yang ketiga ialah khabar atau berita. 

Menurut terminologi pula, beberapa pakar hadis mengemukakan definisi berbeza, namun tiada percanggahan dalam menjelaskan maksud. Contohnya, Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis sebagai: "Hadis ialah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW."  

Manakala Ali al-Qari dalam ‘Syarh Nukhbah al-Fikir’ telah mentakrifkan hadis sebagai; "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau tidur."

Hadis atau sunah Rasulullah SAW panduan bagi umat Islam bersama al-Quran. Hadis berkait rapat dengan Rasulullah SAW. Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah SWT sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

Kepentingan al-Quran dan al-hadis digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunah Nabi-Nya." - (Hadis riwayat Malik).

No comments:

Post a Comment