Tuesday, 7 June 2022

CARA CEGAH ZINA JADI SEMAKIN MEREBAK

 
Perbuatan zina diharamkan kerana ia perbuatan keji melanggar ketetapan agama. Besar dosa mereka melakukan zina dan membawa lebih banyak keburukan lain.  

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina kerana sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk." (Surah al-Israk, ayat 32).

Banyak kes bayi dibunuh sebelum mayatnya dibuang seperti bangkai haiwan. Ada juga kes yang mana bayi yang dibuang masih hidup, kemudian mati disebabkan tidak mendapat keperluan yang sepatutnya (susu, perlindungan fizikal dan jagaan).  

Perbuatan itu disamakan seperti membunuh.  

Sesungguh perbuatan membunuh amat ditegah dalam Islam. Firman Allah bemaksud: "Janganlah kamu membunuh orang yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) kecuali dengan jalan yang sah." - (Surah al-Israk, ayat 33).

Islam menyediakan langkah pencegahan untuk mengelak berlaku perbuatan zina. Lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan tidak dibenarkan berada berdua-dua di tempat terlindung.  

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jangan sekali seorang lelaki bersama-sama dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana yang ketiganya adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya." (Hadis riwayat Ahmad).

Untuk mengelak zina yang menyumbang kes pembuangan bayi, dinasihatkan kepada mereka yang cenderung melakukan hubungan seks dan mampu berkahwin, maka bersegeralah berkahwin. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, bukan lagi berfikiran ortodoks bahawa anak luar nikah itu patut disisih dan jika dibuang.   

Mereka yang melakukan zina dan melahirkan anak zina perlu bertaubat dan janganlah pula menambah dosa dengan membuang bayi. 

Sesungguhnya setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah atau bersih daripada sebarang dosa yang dilakukan oleh ibu bapanya. Biarpun dilahirkan sebagai anak zina, anak itu masih berpeluang hidup sebagai insan mulia jika dididik dengan baik.  

Sabda Rasulullah bermaksud: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci).  Ibu bapalah yang mencorakkan sama ada menjadi seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi." - (Hadis riwayat Bukhri dan Muslim).

No comments:

Post a Comment