Antara tujuan pesalah dijatuhi
hukuman adalah untuk melakukan pencegahan.
Pencegahan adalah kaedah untuk mendidik manusia agar tidak mengulangi perbuatan itu. Mereka yang pernah dikenakan hukuman merasa insaf dan serik melakukan perbuatan itu.
Tentu mereka tidak mahu mengulangi perbuatan salah yang menyebabkan mereka
dikenakan hukuman sekali lagi. Sesungguhnya tidak ada manusia yang suka
dihukum. Jadi, langkah terbaik ialah tidak mengulangi perbuatan itu.
Hukuman ditetapkan juga dapat mencegah mereka yang baru ingin melakukan perbuatan itu. Mereka tahu, jika melakukan kesalahan itu ada hukuman telah ditetapkan. Tambahan, mereka melihat atau mengetahui ada orang lain telah dihukum.
Pencegahan dilakukan dua kaedah iaitu am dan khas. Pencegahan am adalah menghapus atau menghalang unsur yang boleh mendorong seseorang melakukan jenayah, sama ada dalaman atau luaran.
Unsur dalaman adalah hati atau tabiat manusia agar bencikan maksiat. Manakala
unsur luaran ialah sesuatu yang boleh mencetuskan keinginan untuk melakukan
maksiat seperti pergaulan bebas.
Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 59 bermaksud: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isteri kamu, puteri-puteri kamu dan kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menutup kepala sehingga menutup dada mereka. Semoga dengan itu mereka mudah dikenali (bahawa mereka wanita-wanita mulia) supaya tidak akan diganggu (oleh lelaki tidak sopan).”
Ayat itu menjelaskan menutup aurat dapat mengelak wanita daripada diganggu oleh lelaki. Ini termasuk dalam konsep pencegahan.
Pencegahan khas pula satu bentuk hukuman apabila individu telah melakukan kesalahan seperti dikenakan hukuman penjara. Hukuman itu diharapkan dapat menghalang mereka terus melakukan perbuatan salah.
Firman Allah SWT bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seseorang dari kedua-duanya seratus kali dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya sehingga mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kiamat, dan hendaklah (perlaksanaannya) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang beriman.” (Surah an-Nur, ayat 2)
Hukuman terhadap pelaku kesalahan ini diharapkan menjadi pengajaran dan keinsafan agar tidak mengulanginya. Manakala hukuman yang dilakukan di hadapan orang ramai diharap dapat memberi pengajaran agar tidak terpengaruh melakukan perbuatan itu.
No comments:
Post a Comment