Golongan
tua mengalami banyak perubahan berbanding usia muda. Perubahan itu meliputi berkaitan fizikal dan
minda berubah seperti penglihatan mula kabur, pendengaran semakin hilang, kulit
menjadi berkedut, tenaga tidak lagi gagah dan paling ketara ada yang menjadi
nyanyuk.
Sebenarnya
tidak ada umur khusus meletakkan seseorang telah memasuki usia tua. Bagaimanapun, dalam masyarakat kita biasanya
usia tua merujuk kepada individu yang telah mencapai usia 50 tahun dan ke atas.
Ada juga orang mengaku sudah tua hanya setelah pencen daripada pekerjaan yang
lazim pada usia 55 tahun. Tetapi tidak kurang juga yang tidak pernah merasakan
dirinya tua!
Namun
apa yang pasti ialah golongan tua banyak berjasa kepada golongan muda. Jika
tiada golongan tua, sudah pasti tidak mungkin ada golongan muda. Manakala apa
yang kita nikmati sekarang ini adalah hasil usaha pengorbanan yang telah
dilakukan golongan tua.
Contohnya
pergorbanan golongan tua yang berusaha menuntut kemerdekaan negara daripada
penjajah. Lepas itu mereka berusaha keras pula untuk membangunkan negara
sehingga mencapai apa yang kita nikmati sekarang ini.
Dalam
ajaran Islam, golongan tua mesti dihormati. Suruhan menghormati orang tua bukan
sekadar kepada ibu bapa kita sahaja. Semua orang tua perlu dihormati sepertimana kita menghormati ibu
bapa.
Lebih-lebih
lagi jika orang tua itu adalah rakan kepada ibu bapa kita. Rasulullah menyuruh agar kita meneruskan
silatulrahim dengan rakan-rakan ibu bapa kita biarpun ibu atau bapa kita telah
meninggal dunia.
Maksud
menghormati dan menghargai golongan tua ialah mereka diutamakan, dikasihi dan
diberi kemudahan untuk menikmati kehidupan usia tua dengan selesa, terjamin,
selamat dan mengembirakan.
Dalam
masyarakat kita sememangnya sentiasa memberi layanan baik kepada golongan tua. Sebagai
satu gambaran penghormatan yang perlu diberikan kepada golongan tua ialah
golongan tersebut digelar sebagai warga emas. Semua orang ingin dan sayang
kepada emas, dan begitulah yang sepatutnya penghormatan yang diberikan kepada
warga emas.
Memandangkan
golongan tua berada dalam serba kekurangan dalam segi kekuatan fizikal dan
kebanyakannya mungkin juga mental, mereka memerlukan sokongan dan bantuan untuk
meneruskan hidup alam tua dengan seadanya. Sesungguhnya, dalam hal ini
perhatian dan sokongan daripada anak dan ahli keluarga amat diperlukan.
Keadaan
ketika usia telah lanjut dinyatakan dalam surah al-Hajj, ayat 5 bermaksud: “Dan
(dalam pada) itu ada di antara kamu yang dimatikan (ketika kecil atau dewasa)
dan ada pula dilanjutkan umur ke peringkat tua serta nyanyuk sehingga ia tidak
mengetahui lagi mengenai sesuatu yang sudah diketahui dahulu.”
No comments:
Post a Comment