Banyak insan mengharapkan bantuan
pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) maupun individu. Bantuan
itu diperlukan untuk meneruskan kehidupan lebih selesa, tujuan perubatan
ataupun menceriakan sedikit kesedihan yang ditanggung selama ini.
Dalam
akhbar dan majalah serta televisyen kerap menyiarkan kisah penderitaan individu
dan keluarga yang memerlukan bantuan orang ramai. Betapa banyaknya insan di
sekeliling kita yang sebenarnya boleh dikategorikan sebagai bernasib malang .
Laporan
itu bukan sekadar untuk melariskan jualan akhbar, tetapi juga merupakan satu
tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan. Laporan itu juga bukan
setakat untuk dibaca dan kemudian tidak ada apa-apa yang belaku. Ia memerlukan
tindakan orang ramai untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.
Alhamdulillah,
setakat ini, banyak laporan yang disiarkan di akhbar mendapat respon yang
positif daripada pihak yang berkaitan dan orang ramai. Nasib insan malang yang
dilaporkan itu sedikit terbela dan ada yang dapat menyelesaikan masalah yang
membelenggu selama ini.
Sumbangan
itu tidak kisahlah sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, tenaga, khidmat
nasihat dan apa-apa jua yang dapat membantu golongan itu. Setiap sumbangan
pastinya memberi kebaikan kepada penerimanya.
Rakyat Malaysia memang
terkenal dengan sikap prihatin dan pemurah. Jika ada bencana di luar
negara, rakyat Malaysia adalah
antara yang terawal menghulurkan bantuan.
Pelbagai
jenis tabung yang dikendalikan oleh kerjaaan, pihak swasta dan NGO diwujudkan
untuk menerima bantuan orang ramai bagi disalurkan kepada mangsa atau golongan
yang daif di luar negara. Kutipannya ada yang mencecah jutaan ringgit
untuk setiap tabung.
Beberapa
nama NGO Malaysia kini terkenal di seluruh dunia, khususnya di negara yang
pernah mereka menyumbangkan bantuan. Malah, ada NGO antarabangsa dengan
kerjasama NGO Malaysia kini menjadikan Malaysia sebagai pangkalan hadapan untuk menyalurkan bantuan bencana di negara-negara
rantau Asia .
Selain
memberi bantuan di peringkat antarabangsa, kita sepatutnya turut memberi
tumpuan untuk membantu golongan daif di negara kita. Mereka ini sepatutnya
lebih diutamakan untuk mendapat bantuan kita. Ini tidak pula bermakna
perlu menghentikan bantuan kepada rakyat di negara lain.
Hubungan
peringkat antarabangsa memang perlu diwujudkan. Ia secara langsung menaikkan
imej negara di mana masyarakat antarabangsa. Rakyat negara kita juga mungkin
pada masa akan datang memerlukan bantuan luar negara apabila berlaku bencana
besar.
Kepada
yang bernasib baik, bersyukurlah dan menghargai setiap kebaikan yang dimiliki
sekarang. Salah satu tanda bersyukur ialah menghulurkan sedekah dan bantuan
kepada yang memerlukan. Masyarakat prihatin mudah tersentuh hatinya untuk
menyumbang membantu individu lain yang mengharapkan bantuan.
Sedikit
sumbangan yang dihulurkan kepada golongan daif atau mengharapkan sesuatu
bantuan amat bermakna. Bagi golongan kaya mungkin merasakan jumlah itu
terlalu kecil yang sekadar cukup untuk sekali belanja. Memang jurang perbezaan
perbelajaan golongan kaya dengan golongan miskin amat ketara.
Jumlah
yang disediakan untuk sekali makan di hotel mungkin boleh digunakan untuk
belanja makan sebulan bagi satu keluarga miskin. Sekali berbelanja di
pasar raya bagi orang kaya mungkin menyamai pendapatan sebulan seisi rumah
golongan miskin. Jika tidak penuh sebuah troli, akan terus dicari-cari
barang biarpun tidak begitu penting untuk digunakan.
Jika
diperhatikan, memang besar jurang perbezaan perbelanjaan antara golongan kaya
dengan golongan miskin. Ketika ada golongan miskin mengikat perut tiada
apa yang hendak dimakan, golongan berada pula berbelanja mewah memenuhi
kehendak hati. Perkara ini menjadi perkara biasa dalam semua
masyarakat.
Memang
tidak salah golongan kaya berbelanja apa yang diingini. Itu juga satu motivasi
untuk berusaha gigih mencari kekayaan. Apa yang dibelanjakan itu juga
membentuk satu rantaian ekonomi yang turut dinikmati golongan miskin.
Apa
yang diharapkan daripada golongan kaya ialah hulurkan sedikit simpati kepada
golongan miskin. Ringankan tangan untuk menghulurkan bantuan yang pastinya
tidak akan mendatangkan bebanan ekonomi kepada diri sendiri.
Sesungguhnya
golongan kaya diuji sama ada bersyukur dengan apa yang dimiliki dengan
membelanjakan ke arah kebaikan. Manakala golongan miskin pula diuji adakah
reda dengan apa yang terjadi terhadap dirinya.
Dalam
Islam telah terdapat mekanisma wajib iaitu zakat yang mesti ditunaikan oleh golongan
kaya yang cukup syarat wajib zakat. Jika perintah agama ini dilaksanakan
sepenuhnya, nasib golongan miskin akan terbela.
Sekarang ini sistem pungutan zakat di negara kita semakin bertambah bersistematik yang diuruskan oleh pakar dan berjaya mengumpulkan jumlah yang besar untuk manfaat golongan yang layak menerimanya.
Sekarang ini sistem pungutan zakat di negara kita semakin bertambah bersistematik yang diuruskan oleh pakar dan berjaya mengumpulkan jumlah yang besar untuk manfaat golongan yang layak menerimanya.
Jumlah
yang wajib dikeluarkan zakat adalah dianggap sebagai milik golongan yang layak
menerimanya. Pemilik asal haram daripada terus memegang jumlah harta yang
sepatutnya dikeluarkan zakat itu.
Orang
yang enggan mengeluarkan zakat tergolong sebagai tidak sempurna imannya kerana
mengeluarkan zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang menjadi tonggak
kesempurnaan keislaman seseorang.
Mengeluarkan
zakat adalah cara untuk membersihkan harta. Harta yang bersih lebih subur
dan diberkati. Ia umpama seperti dahan pokok yang berpenyakit perlu
dipotong. Jika tidak dipotong, penyakit akan merebak ke dahan lain. Sebalik,
selepas dipotong, akan tumbuh tunas lain yang lebih segar.
Selain
zakat, satu lagi tuntutan syariat ialah bersedekah. Islam tidak menetapkan
syarat untuk mengeluarkan sedekah, asalkan mampu melakukan dan tidak pula
mendatangkan mudarat kepada diri sendiri.
Sikap
sesetengah individu yang bersedekah tanpa menghiraukan keperluan sendiri dan
keluarga adalah ditegah. Utamakan dahulu keperluan diri sendiri dan ahli
keluarga, baru difikirkan untuk orang lain. Peraturan ini bukan melahirkan
sikap mementingkan diri, tetapi satu keperluan dalam kaedah fikah.
No comments:
Post a Comment