Malaysia negara berbilang kaum dan agama
anutan. Maka, sikap saling menghormati
penting diamalkan bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara
berkekalan. Tidak dinafikan setiap kaum
dan penganut agama akan berusaha untuk mempertahankan hak dan keistimewaan
masing-masing.
Namun, perkara paling penting yang perlu
diingatkan tidak mengamalkan sikap keterlaluan dan budaya assabiyyah. Rakyat sebaliknya perlu memahami konsep
"penerimaan dan kebersamaan" yang menunjangi kesejahteraan
hidup. Sesungguhnya, apa yang diamalkan
oleh rakyat di negara kita boleh dianggap terbaik dan perlu dikekalkan.
Kita perlu mengakui amalan bersikap sederhana
dalam kehidupan berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan
Negara adalah tonggak kepada kemakmuran dan kesejehteraan yang dinikmati hari ini.
Pun begitu, kita sentiasa berdepan dengan ancaman
pihak tertentu yang seperti sengaja mencipta sesuatu yang boleh menghncurkan
apa yang kita nikmati sekarang ini.
Antara cubaan pihak berniat jahat ialah cuba menghakis semangat
"kebersamaan dalam kepelbagaian" dalam kalangan rakyat.
Pelbagai isu sensitif dan slogan cuba dicanangkan,
sedangkan semua pihak tahu dan perlu memahami bahawa kita semua
bertanggungjawab menjaga kepentingan perpaduan dan keamanan negara. Negara akan hancur jika rakyat sendiri
melakukan perkara atau perbuatan yang mencetuskan keadaan huru hara dan
perasaan sangsi sesama sendiri.
Perkara utama perlu disemai di setiap sanubari
rakyat ialah apa saja yang dilakukan perlulah mencerminkan tanggungjawab untuk
menjaga keharmonian negara dan bukan sebaliknya. Kita perlu peka kepada
sebarang perkara yang berlaku dalam negara untuk dijadikan pengajaran agar
tidak berlaku perkara boleh mencetuskan kesan tidak baik.
Kita perlu sedar, sejak kebelakangan ini sering
timbul isu yang jika tidak ditangani dengan bijak akan merebak menjadi satu
tragedi buruk. Isu-isu berkaitan kaum
dan agama tidak boleh danggap isu remeh dan dipandang sebelah mata.
Isu-isu membabitkan perubahan nilai hidup seperti
LGBT, penggunaan kalimah Allah, penghinaan terhadap institusi agama dan Raja
serta tuntutan isu berkaitan hak asasi tanpa sempadan, jika tidak diatasi akan
menjurus kepada kehancuran masyarakat dan negara.
Masyarakat kita dikelirukan dengan pelbagai
kecelaruan nilai yang tiada berkesudahan.
Perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana akhirnya ia akan
menghancurkan apa yang kita ada selama ini.
No comments:
Post a Comment