Tuesday 30 November 2021

SELEPAS BERSARA, UMPAMA SEPERTI MENTOL TERBAKAR

 
Seorang pegawai tertinggi berstatus ketua pengarah di satu kementerian bersara dan berpindah dari kediaman rasminya ke kawasan perumahan di mana dia memiliki sebuah banglo.

Dia menganggap dirinya hebat dan tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun. Walaupun ketika berjalan di taman setiap petang, dia tidak menghiraukan orang lain, malah memandang rendah pada mereka.

Suatu hari, orang tua yang duduk di sebelahnya memulakan perbualan dan mereka sering bertemu selepas itu.

Setiap kali perbualan mereka kebanyakannya bagaikan monolog dan bekas ketua pengarah yang telah bersara itu membincangkan topik kegemarannya.

Setiap kali mereka berbicara, orang tua itu menjadi pendengar yang setia, sesekali menjamput, jika dirasakan perlu.  

“Tidak ada sesiapa yang dapat membayangkan jawatan besar dan jawatan tinggi yang saya pegang sebelum bersara. Saya datang ke sini kerana terpaksa bersara mandatori, ” kata bekas ketua pengarah.

Orang tua yang menemaninya mendengar dengan tenang.

Setelah berhari-hari berlalu, ketika bekas pegawai tertinggi kementerian itu mula ingin tahu tentang orang lain, orang tua yang menemaninya itu membuka mulut dan berkata;

“Setelah bersara, kita semua seperti mentol yang sudah terbakar. Tidak kira berapa watt mentol itu, berapa banyak cahaya atau kilauan yang diberikan sebelum ia terbakar.

“Saya telah tinggal di masyarakat ini selama 5 tahun dan tidak memberitahu siapa pun bahawa saya adalah bekas Ahli Parlimen selama dua penggal.

“Di sebelah kanan anda tu, dia bersara sebagai pengurus besar di syarikat korporat membuat kereta. Di hujung sana tu merupakan mejar jeneral dalam Tentera Darat.

“Orang yang duduk di bangku berpakaian putih bersih itu merupakan ketua bursa saham sebelum bersara. Dia tak pernah memberitahu kepada sesiapa pun, walaupun kepada saya, tetapi saya tahu.

"Semua mentol mentol yang terbakar ini sekarang menjadi sama, apa pun wattnya, 10, 40, 60, 100, takde bezanya sekarang.

“Tidak kira apa jenis mentol sebelum ianya terbakar,  LED, CFL, halogen, mentol pijar, pendarfluor atau lampu hiasan.

“Dan perkara sama turut terjadi kepada anda. Pada hari anda memahami perkara ini, anda akan mendapat ketenangan dalam masyarakat dan dunia ini.

"Matahari yang terbit serta matahari terbenam kedua-duanya nampak indah dan menikmatkan. Tetapi, pada hakikatnya, matahari terbit lebih penting dan dipuja. Bahkan dinanti-nantikan. Sedangkan matahari terbenam tidak diberi penghormatan yang sama. Lebih baik ini anda fahami lebih awal daripada kemudian hari kelak.

“Pangkat, gelaran dan kuasa kita sekarang tidak kekal. Menyimpan banyak emosi dengan perkara-perkara ini hanya akan menambah rumitkan hidup kita apabila kita kehilangan semua ini pada suatu hari nanti.

"Ingatlah bahawa apabila permainan catur berakhir, raja dan bidak akan kembali dalam kotak yang sama. Dan kita semua akan kembali ke tanah yang kita pijak selama ini,” jelas orang tua itu seakan-akan berceramah seperti dia lakukan semasa menjadi Ahli Parlimen.

No comments:

Post a Comment