Friday 26 November 2021

HIKING HUTAN SIMPAN KOMUNITI KOTA DAMANSARA

Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara, Selangor adalah hutan sekunder yang menjadi tumpuan kepada mereka ingin beriadah secara kembara berjalan kaki (hiking).

Hiking di Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara bukan semata-mata ingin mencapai puncak tertinggi. Kepada yang ingin hiking dalam masing lebih singkat, boleh memilih denai yang lebih dekat dan kurang mencabar.

Pada masa sama, lokasi rekreasi ini amat sesuai untuk semua peringkat lapisan masyarakat untuk beriadah secara santai.

Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara telah diwartakan sebagai hutan Simpanan Kekal pada 18 Februari 2010 bagi tujuan Hutan Lipur, Hutan Pelajaran dan Hutan Penyelidikan. 

Hutan simpan ini meliputi kawasan seluas 321.7 hektar (795 ekar) adalah di bawah pentadbiran Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan diurus secara kerjasama dengan komuniti tempatan dan kumpulan pengguna yang berkepentingan. 

Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara adalah bekas Hutan Simpan Sungai Buloh yang diwartakan pada tahun 1898. Ketinggian hutan ini adalah di bawah 300 meter pada aras laut. Hutan ini merupakah salah satu hutan simpan yang masih ada di daerah Petaling. 

Hutan Simpan Komuniti Kota Damansara terletak di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 10, Kota Damansara. 

Pintu masuk di Seksyen 10 adalah sesuai bagi pengunjung yang ingin mengikuti Denai Petaling, Denai Pengakap, Denai Temuan dan Denai Sahabat. Jika pengunjung ingin ke Denai Harmoni, pintu masuk dari seksyen 9 berdekatan Taman Rimba Riang. 

Terdapat 9 denai yang dicipta untuk memberi laluan yang mudah kepada pengunjung-pengunjung yang ingin menikmati keindahan dan ketenangan di hutan tanah rendah. 

Denai tersebut ialah:

Denai Petaling. Denai petaling adalah denai asal yang dibina untuk pendidikan alam sekitar dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia. Denai ini mengelilingi tasik dan sesuai untuk kanak-kanak dan semua tahap kecergasan.

Perjalanan denai ini mengambil masa kira-kira 25 minit. Terdapat papan berkod sepanjang laluan.

Denai Pengakap. Denai ini adalah denai yang mudah dan mengambil masa kira-kira 30-45 minit bergantung kepada kelajuan berjalan pengunnjung.

Denai ini sesuai untuk pengunjung yang pertama kali ke hutan dan tudak mempunyai masa untuk berjalan jauh.

Denai Temuan. Denai Temuan lebih jauh berbanding Denai Pengakap iaitu kira-kira 4km iaitu kira-kira 80 minit perjalanan mengikut kelajuan berjalan hikers. Terdapat bangku disediakan untuk pengunjung melepaskan lelah.

Denai Sahabat. Denai Sahabat adalah sepanjang 6km iaitu tambahan 2km dari Denai Temuan. Denai ini adalah laluan tunggal yang membawa kepada pusingan kecil yang membawa ke laluan Denai Temuan. Denai ini mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan mengikut kelajuan dan kecergasan pengunjung.

Denai Unity. Denai ini sepanjang 2 km menghubungkan rangkaian keseluruhan laluan dengan menyabungkan Denai Harmoni dan Denai Shabat. Perjalanan laluan ini menghubungkan laluan dari seksyen 10 ke seksyen 9 di bawah kanopi hutan. 

Denai Harmoni. Denai ini dicipta menghala ke seksyen 9, Jalan Rimba Riang 9/1, adalah denai pertama yang dibina menghubungkan seksyen 9 dan seksyen 10. Denai ini mengunjur lurus ke titik pertemuan dengan jejak perpaduan. Wakaf dan bangku berehat turut disediakan di denai ini.

Denai Tahak Sipew. Denai ini adalah taman etnobotani iaitu kira-kira 800 meter yang mempamerkan tumbuh-tumbuhan digunakan secara tradisional oleh masyarakat Orang Asli Temuan.

Tumbuhan-tumbuhan ini digunakan untuk makanan, perisa, perubatanm kraf dan bangunan dalam persekitaran semulajadi mereka. Pengunjung boleh menghubungi pihak berwajib untuk mendapatkan khidmat pemandu pelancong dari Orang Asli Temuan.

Denai Unity Peak. Denai Unity Peak boleh diakses melalui Denai Unity. Denai Unity Peak adalah berdekatan Denai Harmoni. Laluan sepanjang 2 km Denai Unity Peak, pengunjung akan melalui beberapa anak sungai dan pelbagai jenis tumbuhan herba, Jika di hari cerah, pengunjung boleh melihat jalan ke Batu Caves dari puncak Unity Peak.

Denai Tiga Puteri. Denai Tiga Puteri boleh diakses dari Denai Unity iaitu berdekatan Denai Sahabat. Sepanjang 1.5 km, pengunjung akan 'disaji' permandangan yang menarik dan memikat hati. Dari puncak Denai Tiga Puteri, pengunjung dapat melihat Lebuhraya NKVE dengan bandar Kota Damansara pada jarak jauh.

 




No comments:

Post a Comment