Sunday, 10 October 2021

BERUSAHA BEKERJA PENUHI KEPERLUAN HIDUP

 
Islam menyuruh umatnya berusaha memenuhi keperluan hidup dengan cara melakukan apa saja perkerjaan yang termampu yang tidak bercanggah dengan hukum agama. Mencari rezeki adalah perkara yang perlu diutamakan dalam kehidupan ini selepas menunaikan ibadat wajib lain. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburanlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat.”- (Surah al-Jumaah, ayat 10).

Bekerja disamakan dengan jihad ke jalan Allah. Semoga Allah SWT memberkati usahanya dunia dan akhirat. 

Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat lalu di hadapan mereka. Maka salah sorang sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.” 

Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mencari rezeki untuk dirinya supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika dilakukan kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabililissyaitan (mengikut jalan syaitan).” - (Hadis riwayat at-Thabrani).

Semangat orang kurang upaya mencari rezeki perlu dijadikan contoh. Jika OKU boleh berjaya, mengapa pula orang yang sempurna sifatnya tidak mahu berusaha memenuhi keperluan sendiri.

No comments:

Post a Comment