Isu
rasuah dan salah guna kuasa seringkali menjadi topik perbincangan utama dalam
kalangan masyarakat mutakhir ini. Banyak sekali kes dilaporkan berlaku
membabitkan individu yang mengkhianati tanggungjawab atau amanah diberi.
Ironinya,
ia bukan hanya membabitkan kakitangan di peringkat bawahan, malah juga mereka
yang berada di puncak kuasa. Kes juga berleluasa dalam kalangan penjawat awam
atau penguat kuasa yang sepatutnya menegakkan undang-undang.
Lantas,
persoalan besar berlegar di minda, mengapakah begitu banyak sekali yang
terjebak rasuah dan salah guna kuasa? Apakah nilai amanah dan integriti dalam
diri masing-masing semakin terhakis?
Dalam
Islam, konsep amanah dan integriti sangat ditekankan sebagai acuan hidup
bermasyarakat dan negara. Konsep ini jelas terpakai bukan hanya untuk mereka
yang beragama Islam, malah meliputi sesiapa saja dengan apa pun anutan dan
fahaman.
Realiti
harus diterima bahawasanya amanah dan integriti adalah dua perkara penting yang
menjadi cerminan kepada keimanan seseorang Muslim.
Kedua-dua
perkara ini harus menjadi inti pati serta pegangan hidup setiap insan dalam
memastikan keindahan kehidupan baik di dunia mahu pun akhirat.
Nabi
Muhammad SAW sendiri menegaskan melalui hadis yang bermaksud, "Tiada iman
bagi orang yang tidak amanah dan tak beragama orang yang tidak menunaikan
janji" (Hadis riwayat Ahmad).
Umum
sedia tahu, dewasa ini sering dipaparkan mengenai isu tercalarnya integriti
dalam masyarakat negara kita.
Laporan
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 sendiri meletakkan Malaysia pada kedudukan
ke-57 daripada 180 negara, jatuh enam anak iaitu berbanding ke-51 pada tahun
sebelumnya.
Statistik
kes rasuah dan salah guna guna kuasa serta penurunan penarafan Malaysia melalui
CPI memberi cerminan buruk kepada tahap integriti masyarakat kita.
Rasuah
dan salah guna kuasa perlu dihindar dan disisihkan daripada menjadi amalan
serta kebiasaan yang berterusan.
kita
tidak mahu amalan yang meruntuhkan integriti serta sikap tidak amanah ini
menjangkiti generasi muda yang bakal menjadi pelapis dan meneruskan kepimpinan
keluarga, masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Punca
perkara ini berlaku disebabkan keinginan menjalani gaya kehidupan yang mewah,
sehingga menanggung bebanan hutang yang banyak, selain berusaha mengejar
pangkat dan kedudukan antara punca hilangnya jati diri individu Muslim.
Situasi
berkenaan, akhirnya menyebabkan banyak yang mudah terjebak ke lembah kehinaan
seperti rasuah dan sogokan wang haram yang meruntuhkan institusi masyarakat.
Impak
keruntuhan integriti ini bukan sekadar mendatangkan kesan negatif kepada
individu, malah turut menjejaskan institusi.
Sebagai
contoh jika berlaku dalam perkhidmatan awam, ia akan menyebabkan kehilangan
pendapatan besar kepada negeri serta negara. Ini sekali gus membantutkan
keperluan dan sumbangan serta faedahnya kepada pembangunan komuniti secara
menyeluruh.
Gambar: Najis lembu lebih bernilai banding orang tidak amanah
No comments:
Post a Comment